SUDAH menjadi adat penyewa rumah harus bertanggungjawab menjaga rumah yang disewanya itu dengan sebaik mungkin.
Namun, tidak semua penyewa menjalankan tanggungjawab tersebut bahkan sesetengah daripada mereka sanggup menganiaya tuan rumah.
Sepasang penyewa warga asing telah meninggalkan sesuatu yang tidak disangka selepas keluar daripada rumah tersebut.
Apabila melakukan pemeriksaan, alangkah terkejutnya tuan rumah itu apabila melihat bekas penyewa tersebut telah meletakkan beberapa ekor ikan di sinki, peti ais, pasu bunga, almari dan juga siling rumah berkenaan akibat berang dengan tindakannya yang enggan memulangkan wang deposit mereka!
Mengikut perjanjian, kedua-dua belah pihak telah bersetuju dengan tempoh sewaan yang ditawarkan iaitu selama setahun. Namun, pasangan tersebut ingin berpindah keluar selepas hanya lima bulan menyewa.
Tindakan tersebut jelas sekali telah melanggar perjanjian sewaan mereka. Disebabkan itu, pemilik rumah berkenaan mengambil keputusan untuk tidak memulangkan wang deposit mereka.
Namun, dia sama sekali tidak menyangka rumah itu akan ‘dicemari’ dengan ikan busuk!
Lebih ‘parah’ lagi, perkara itu hanya diketahui selepas beberapa bulan rumah itu tidak disewakan oleh kerana jiran-jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah tersebut mengadu terhidu bau yang kurang menyenangkan.
Aduan mereka sekaligus memaksa tuan rumah berkenaan datang melihat keadaan rumah tersebut. Jelas sekali, dia terkejut dengan keadaan rumah yang telah ‘dihuni’ ulat serta bau yang sangat busuk.
Perkara tersebut memaksa pemilik rumah berkenaan membuang peti ais yang telah dipenuhi dengan ulat.
Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah tiada seorang pun pekerja pembersihan yang sanggup menerima kerja pembersihan yang ditawarkan kerana keadaan rumah yang sangat teruk.
Kejadian ini dilaporkan berlaku di Guangxi, China. Difahamkan pasangan tersebut telah menyewa rumah berkenaan sejak Mei lalu. Namun, pemilik rumah tersebut menyedari dia telah disabotaj beberapa minggu yang lepas.
Dalam pada itu, tindakan penyewa yang tidak bertanggungjawab tersebut telah mendatangkan kemarahan netizen dan menasihatkan agar pemiliknya membuat laporan polis.
Dilaporkan, penyewa berkenaan telah menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan oleh tuan rumah itu
Catat Ulasan