Perangkap Baru Along




Ceti haram atau along kini dikesan menggunakan taktik baru bagi mencari pelanggan di sekitar negeri ini dengan berselindung di sebalik syarikat pelancongan dan pusat tuisyen.

Mereka juga dikatakan bekerjasama dengan beberapa syarikat menjual barangan elektrik dengan menawarkan pinjaman wang tunai kepada orang ramai, bukan menjual barangan.

Taktik itu dipercayai bagi mengelirukan pihak berkuasa khususnya polis yang sudah mengisytiharkan perang ke atas along  berikutan keganasan yang dilakukan ke atas pelanggan yang gagal menjelaskan pinjaman.

Taktik itu terbongkar selepas polis menerima beberapa aduan daripada pelanggan perniagaan berkenaan.

Taktik itu dikesan selepas pihak polis  menyerbu beberapa premis di negeri ini yang kononnya menawarkan pakej pelancongan, tuisyen dan barangan elektrik.

Peniaga berkenaan dikatakan menjual produk elektrik tetapi pelanggan tidak akan menerima barangan itu, sebaliknya diberikan wang tunai dan perlu membayarnya dalam tempoh ditetapkan.

Siasatan sedang dijalankan terhadap kegiatan berkenaan selepas beberapa serbuan dilakukan.

Polis Pulau Pinang sudah menubuhkan pasukan khas bagi memerangi along  berikutan keputusan kerajaan membanteras kegiatan pemberian pinjaman haram hingga ke akar umbi.

Selain polis, pihak berkuasa tempatan turut bekerjasama membanteras kegiatan along dengan menanggalkan pelekat memaparkan nombor telefon along yang ditampal di tempat awam seperti perhentian bas dan pondok telefon.

Tindakan itu berikutan perbuatan along yang dikategorikan sudah melampau apabila sanggup merantai peminjam yang gagal menjelaskan hutang seperti binatang, selain mengancam untuk mengambil tindakan kekerasan terhadap ahli keluarga.

Sejak pasukan membanteras along dilancarkan sebanyak 15 serbuan dilakukan dan lapan daripadanya didapati tidak mempunyai lesen memberi wang sah.

Daripada jumlah itu, tiga individu akan dihadapkan ke mahkamah, manakala bakinya sedang dalam siasatan sebelum tindakan lanjut.

Daripada serbuan itu, polis merampas tiga komputer riba, pengimbas data (empat), buku akaun (15), kad pengeluaran wang automatik (91), telefon bimbit (79) dan barang kemas (52) yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM15,000.

Turut dirampas, wang tunai RM28,000 dan lebih 46 ribu keping pelekat iklan memaparkan nombor telefon yang perlu pelanggan hubungi.

Pihak polis juga sudah mengenal pasti 24 individu berusia antara 20 dan 50 tahun yang terbabit dalam kegiatan along termasuk seorang bergelar Datuk.

Gerakan memburu along secara besar-besaran akan dilakukan bagi memastikan kumpulan samseng dan along dikenakan tindakan sewajarnya.

Mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, pesalah boleh didenda RM50,000 atau dua tahun penjara bagi kesalahan pertama, manakala denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan berulang.



0/komen