Dron padat boleh lipat DJI Mavic Air 2 telah dilancarkan dengan kemampuan terbang lebih lama berbanding yang dilancarkan pada tahun 2018.
Kali ini ia mampu terbang selama 34 minit secara berterusan berbanding hanya 21 minit sebelum ini kerana kapasiti bateri meningkat ke 3500 mAh.
Penambahbaikan lain yang dilakukan ialah kamera 12-Megapixel dengan saiz sensor yang lebih besar. Terdapat mod untuk mengambil gambar pada resolusi 48-Megapixel baharu. Kemampuan mengambil video masih lagi 4K 60FPS atau 1080P 120FPS di samping mod hyperlapse 8K.. Terdapat juga kemampuan melakukan penstriman 1080P 30FPS sehingga jarak maksimum 10 kilometer dari pengawal. Gambar serta video juga menyokong rakaman HDR secara terbina.
Menerusi sistem APAS 3.0, dron mampu mengelak dari berlanggar dengan lebih bijak sekaligus meningkatkan keselamatan. Selain itu alat kawalan juga diubahsuai dengan cagak untuk telefon pintar kini diletakkan pada bahagian atas. Apabila tidak digunakan, dron boleh dilipat dengan kemas untuk mengecilkan saiznya serta mengelakkan kerosakan pada kipas.
DJI Mavic Air 2 ditawarkan pada harga bermula $799 (~RM3492) sebuah atau $999 (~RM4365) untuk Fly More Combo yang menyertakan bateri, kipas, penuras lensa serta beg simpanan tambahan.
Catat Ulasan