DC Water merawat kira-kira 1,400 juta liter air kotor dan sisa buangan daripada dua juta isi rumah pada setiap hari.
BAU busuk memenuhi ruang udara di tapak rawatan sisa kumbahan di Amerika Syarikat. Tapak itu menjadi projek terbesar di dunia yang mengubah sisa buangan manusia menjadi kuasa elektrik.
“Mereka membuat sumber tenaga hijau,” kata seorang jurutera, Chris Peot ketika sesi lawatan ke pusat rawatan itu .
Dikenali sebagai Blue Plains yang dikendalikan syarikat DC Water merawat kira-kira 370 juta gelen (1,400 liter) air kotor yang melibatkan sisa daripada lebih dua juta isi rumah pada setiap hari. Mereka membersihkan sisa (mikroorganisma) itu menjadi gas nitrogen.
Sebaik proses pembersihan dilakukan, air bersih akan dialirkan ke dalam Sungai Potomac yang terletak berhampiran Chesapeake Bay tanpa mengganggu ekosistem.
Kebiasaannya, najis manusia akan dikitar semula untuk dijadikan baja.
Namun, langkah baharu yang diperkenalkan sejak enam bulan lalu memproses najis untuk menghasilkan 10 megawatt tenaga elektrik.
Tenaga elektrik yang dihasilkan itu secara teorinya memadai untuk membekalkan tenaga kepada 8,000 isi rumah yang dijana terus dari kilang.
Pekerja kilang akan mengumpulkan sisa buangan pepejal yang termendap di bahagian bawah kolam sisa rawatan menggunakan satu teknik hidrolisis Norway. Teknik itu digunakan buat pertama kalinya di Amerika Utara.
Peot yang bertindak selaku Pengarah Pemulihan Sumber DC Water memberitahu, proses itu membolehkan kilang mengeluarkan bahan organik dan menukarkannya kepada gas metana.
Apabila dibakar, metana akan menghasilkan tenaga yang akan digunakan dalam operasi kilang.
“Projek ini merangkumi proses merawat air daripada bahan buangan untuk menjadi sumber yang boleh dimanfaatkan,” kata Ketua Eksekutif DC Water, George Hawkins.
Gas metana yang dihasilkan melalui proses penguraian sisa organik oleh bakteria di dalam tong besar bersaiz 25 meter tinggi itu mampu mencerna 14.38 juta liter bahan pepejal.
Selepas itu, biogas tersebut dijana untuk mengendalikan tiga turbin yang bersaiz enjin jet bagi menghasilkan 13 megawatt tenaga elektrik dan digunakan secara serta-merta untuk proses hidrolisis.
Kesan karbon
Jelas Peot, sebanyak 10 megawatt tenaga digunakan untuk loji rawatan air yang menjadi pengguna terbesar tenaga di Washington.
Penggunaan proses itu boleh mengurangkan kesan karbon sebanyak satu pertiga dan dapat mengurangkan kos operasi yang bernilai jutaan dolar setahun.
“Ia menjimatkan wang dan menghalang kami daripada membeli kuasa luar grid yang sebahagian besarnya menggunakan arang batu,” terangnya.
Ketua Pegawai Strategi di American Council on Renewable Energy, Todd Foley berkata, ia adalah satu langkah untuk mempelbagaikan campuran tenaga dan mengawal kos penggunaan tenaga.
“Peranannya akan meningkat,” ramal Foley.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa pada tahun lalu, tenaga angin, solar dan biomas yang digabungkan hanya menyumbang sebanyak enam peratus daripada bekalan eletrik di dunia berbanding 41 peratus bagi arang batu, 22 peratus (gas), 17 peratus (hidro ), 11 peratus (nuklear) dan empat peratus (minyak).
Biogas yang dihasilkan daripada sisa buangan manusia itu menjadi harapan buat negara-negara miskin sebagai sumber tenaga yang mampu menghasilkan kuasa untuk 138 juta isi rumah di seluruh dunia seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada November lalu.
Ia juga dikatakan boleh meningkatkan tahap kebersihan di negara-negara itu yang kurang sanitasi dan menyumbang sebanyak 10 peratus punca penyakit
Catat Ulasan