Harimau Malaya berusia 4 tahun di Zoo Bronx di New York diuji positif wabak COVID-19.
Menurut Jabatan Laboratori Perkhidmatan Veterinar Negara Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, ini merupakan harimau pertama yang dijangkiti dengan wabak yang telah membunuh lebih dari 200,000 orang di seluruh dunia.
Harimau yang bernama Nadia, Azul, dua harimau Amur dan tiga singa Afrika telah mengalami gejala batuk kering dan semuanya dijangka akan pulih, kata kenyataan dari pihak zoo tersebut.
Sampel dari Nadia diambil dan diuji selepas beberapa singa dan harimau di zoo tersebut menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah pernafasan.
“Walaupun mereka mengalami penurunan selera makan, kucing besar di Zoo Bronx berada dalam keadaan baik di bawah penjagaan veterinar.
“Tidak diketahui bagaimana penyakit ini akan berkembang kepada kucing besar kerana spesies yang berbeza mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap jangkitan ini, tetapi kami akan terus mengawasi mereka dengan teliti dan dijangka akan pulih sepenuhnya,” kata kenyataan zoo tersebut.
Pihak zoo turut menambah bahawa binatang tersebut mungkin telah dijangkiti oleh penjaga mereka yang turut sama tidak menunjukkan sebarang simptom sebagai pembawa COVID-19.
Langkah-langkah pencegahan sudah di ambil ke atas semua kakitangan zoo bagi mengelak penularan wabak yang lebih besar ke atas haiwan yang lain.
Catat Ulasan