Lenovo Legion 7i Dan IdeaPad Gaming 3i


Lenovo Malaysia baru sahaja  memperkenalkan siri komputer riba gaming Legion baru yang dikuasakan oleh komponen-komponen terbaru daripada AMD, Intel dan juga NVIDIA.

Dua daripada model tersebut, Lenovo Legion 7i dan juga Lenovo IdeaPad Gaming 3i dilaporkan hanya akan tiba pada penghujung bulan Jun, tetapi nampaknya Lenovo Malaysia sudahpun memperlihatkan model-model dan tanda harga untuk kedua-dua model tersebut pada laman web mereka sendiri.

Bermula dengan Legion 7i, komputer riba ini mempunyai sembilan konfigurasi yang boleh dipilih, dimana ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-10750H ataupun Intel Core i7-10850H, memori DDR4 sebanyak dari 8GB hingga 32GB dan storan SSD PCIe dari 256GB ke 1TB.




Dari segi pilihan cip pemprosesan grafik, Legion 7i ini hadir dengan pilihan NVIDIA GeForce GTX 1660Ti, NVIDIA GeForce RTX 2060 dan NVIDIA GeForce RTX 2070 Super untuk pengalaman gaming berkualiti tinggi tidak kira tajuk permainan yang dimainkan.

Beralih kepada Lenovo IdeaPad Gaming 3i, komputer riba 13 inci ini dilengkapi pilihan CPU Intel Core i5-10300H dan Intel Core i70-10750H, memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan gabungan SSD sebesar 256GB dan cakera keras 1TB.



IdeaPad Gaming 3i ini dilengkapi dengan cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 yang cukup berkuasa menggerakkan permainan-permainan e-sukan popular hari ini seperti DoTA 2, League of Legends, Overwatch, Apex Legends dan sebagainya.

Sebelum ini Lenovo mengatakan bahawa kedua-dua komputer riba ini hanya akan tiba di pasaran tempatan pada penghujung bulan hadapan, tetapi laman web Lenovo Malaysia sendiri telah memperlihatkan model-model ini.






Tanda harga untuk model-model tersebut juga diperlihatkan, dan nampaknya pelanggan juga boleh mula membelinya melalui laman web tersebut.

Seperti yang diperlihatkan di laman web tersebut, Lenovo Legion 7i boleh dibeli pada harga permulaan RM6399 sehingga RM10,699, manakala Lenovo IdeaPad Gaming 3i hadir dengan dua model yang boleh dibeli pada harga RM3699 dan RM4199.

0/komen