Cincin antara perhiasan diri yang dipakai di jari bagi melengkapkan penampilan. Kehalusan seni sebentuk cincin lazimnya memperlihatkan kemahiran dan kepakaran seseorang tukang kraf perak. Keindahan cincin perak juga diserikan dengan kehadiran batu permata yang ditatah di atasnya.
Birai cincin bertatah batu permata biasanya dikikir dan dicanai halus bagi menguatkan cengkaman antara cincin dengan batu permata itu.
Selain cincin, barangan kemas yang dihasilkan daripada perak termasuk kalung, gelang, loket dan anting-anting.
Salah satu teknik digunakan tukang kraf perak untuk menghasilkan barangan kemas perak ialah melalui teknik tulang sotong.
Hanya tulang sotong jenis katak saja sesuai dijadikan bahan utama membuat acuan bagi barangan kemas bahan perak.
Ini kerana sotong katak mempunyai tulang yang besar iaitu sebesar tapak tangan manusia.
Prosesnya dimulakan dengan menyediakan satu acuan pemula yang dijadikan contoh untuk menghasilkan bentuk barang kemas yang diinginkan.
Ia menggunakan tulang sotong katak yang diproses dan dikeringkan.
Proses seterusnya ialah membersih dan melicinkan permukaan tulang sotong katak itu dengan kertas pasir.
Kepingan logam berbentuk bulat seperti cincin, dilekapkan pada permukaan tulang sotong itu sebagai ukuran untuk membuat acuan.
Seterusnya, tulang sotong itu dipotong kepada tiga bahagian kecil untuk dijadikan satu acuan yang lengkap.
Sejenis pelekat yang dikenali tiga saat digunakan untuk melekatkan potongan kecil tulang sotong itu menjadi acuan yang dikehendaki.
Apabila acuan tulang sotong itu dibentuk, barulah leburan bahan perak dituang ke dalam acuan berkenaan.
Cincin yang terbentuk di dalam acuan itu boleh dibuka selepas 10 hingga 15 minit sebelum dikilatkan.
Teknik tulang sotong mudah dan cepat dibentuk menjadi acuan yang dikehendaki.
Malah, kos menggunakan bahan ini lebih murah berbanding acuan menggunakan kayu.
Catat Ulasan