Maut Tercekik Donut Dan Penkek



WASHINGTON DC – Seorang lelaki mati tercekik apabila melahap donut ketika pertandingan makan kuih itu dalam tempoh 80 saat yang dianjurkan sebuah kedai di Denver, Colorado.

Ia adalah kematian yang kedua dalam pertandingan makan pada hari sama apabila secara kebetulan seorang pelajar wanita berusia 20 tahun turut mati ketika pertandingan makan penkek di Connecticut dekat sini.

Dalam kejadian pertama, Travis Malouff, 42, mati kerana asfiksia akibat halangan pada saluran udara ketika menyertai pertandingan makan ‘donut sebesar kek kecil’, kata seorang saksi, Julia Edelstein.

Menurutnya, Malouff dengan lahap mula makan satu donut sebelum minum sedikit air dan tiba-tiba meringkuk.

Mukanya kemudian mula biru dan sebahagian donut masih di dalam mulutnya ketika dia pengsan.

Pelanggan yang lain cuba membantu mangsa sementara menanti kedatangan pasukan paramedik, tetapi Malouff tidak dapat diselamatkan.

Beberapa jam sebelum itu, Caitlin Nelson, 20, dilaporkan meninggal dunia ketika makan penkek dalam pertandingan di Universiti Sacred Heart, Hartford, Connecticut.

Bagaimanapun, kematiannya dikaitkan dengan kemungkinan alahan pada bahan di dalam penkek dimakannya.


0/komen