Pemain Bola Sepak Yang Kini Jadi Ketua Negara



WEAH melambai kepada penyokongnya semasa melakukan kempen pilihan raya pada Oktober 2017.

Rakyat memilih Weah sebagai Presiden Liberia kerana sikapnya yang pemurah dan tidak pernah mencetuskan kontroversi.



Weah mula menyertai politik selepas bersara daripada arena bola sepak.

HAMPIR semua kertas pengundian sudah dikira. Dengan sebulat suara, bekas penyerang bola sepak bagi pasukan Chelsea, Manchester City dan AC Milan itu dilantik sebagai Presiden baharu Liberia yang ke-25.

Bekas pemain bola sepak yang dimaksudkan itu adalah George Weah, 52. Kejayaannya diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan Liberia pada 28 Disember 2017. Pada 14 Januari 2018  beliau memulakan kariernya sebagai Presiden Liberia.

Daripada 98.1 peratus kertas pembuangan undi dikira, Weah meraih 61.5 peratus undian, jauh di depan pencabarnya Joseph Boakai. Kemenangan itu melayakkan Waeah menggantikan Ellen Johnson Sirleaf yang dilantik sebagai Presiden Wanita Pertama Afrika.

Sirleaf menewaskan Weah pada pilihan raya 2005 yang berlangsung sejurus selepas perang saudara yang menyaksikan Presiden Charles Taylor dipaksa oleh pemberontak untuk meletakkan jawatan.

Taylor kini menjalani hukuman penjara 50 tahun di Britain untuk jenayah perang yang berkaitan dengan konflik di negara jiran Sierra Leone.

Beratus-ratus penyokong gembira apabila Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan Liberia mengumumkan keputusan mengenai kemenangan Weah.

Menurut pemerhati pemilihan, baik dari dalam dan luar negeri telah memuji pelaksanaan pemilihan dan mengatakan ia menunjukkan peningkatan yang ketara dari pusingan pertama pada bulan Oktober 2017.

Rakyat begitu gembira dengan kemenangan Weah tetapi ada juga segelintir pembangkang yang menyoal bagaimana Weah boleh menjadi Presiden sedangkan Sirleaf lebih layak memegang jawatan berkenan.

Mereka mempertikaikan Sirleaf mempunyai pendidikan yang tinggi sehingga ke Universiti Harvard sedangkan Weah hanya seorang pemain bola sepak dan hanya mempunyai pendidikan dari Sekolah Tinggi Wells Hairston.

Kualiti atau populariti tentang pemilihan Presiden menjadi antara tajuk hangat di muka depan surat khabar.

“Apabila saya memulakan perjalanan karier saya sebagai pemain bola sepak profesional, saya mendengar banyak perkara negatif. Sama seperti saya mula berkecimpung dalam arena politik.

“Banyak pengkritik mengatakan bahawa saya tidak mampu melaksanakan tanggungjawab. Mereka mencadangkan supaya saya menarik diri tetapi saya tidak mendengarnya dan buat tidak tahu,” kata Weah.

Beliau terus menolak segala kemungkinan sehingga berjaya sebagai salah seorang legenda sepak bola terbesar dunia.

“Hari ini, mereka yang mengatakan saya akan gagal memanggil saya ketua (Presiden),” tuturnya.

Republik Liberia adalah sebuah negara di pesisir barat Afrika yang bersempadan dengan Sierra Leone di barat, Guinea di utara dan Cote d’Ivoire di timur. Negara itu memiliki keluasan 111.400 kilometer persegi dengan populasi 4.5 juta penduduk. Liberia mengamalkan pemerintahan demokrasi.

Liberia satu-satunya negara di Afrika Barat yang tidak pernah dijajah oleh bangsa Barat. The Love of Liberty Brought Us Here merupakan moto bagi penduduk baharu di negara tersebut.

Mereka adalah budak-budak kulit hitam di Amerika Syarikat yang telah dimerdekakan oleh kumpulan philantropik. Tindakan repatriasi itu diharapkan agar budak-budak yang dibebaskan itu tidak memberi saingan kepada masyarakat kulit putih di Amerika Syarikat.

Maka, pada tahun 1847 dibentuklah negara baharu di Afrika yang diberi nama Liberia.

Menyingkap kejayaan bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, Weah muncul sebagai pemain bukan Eropah pertama memenangi Ballon d’Or pada tahun 1995. Ia merupakan salah satu daripada pelbagai kejayaan diraih pemain prolifik itu sepanjang 18 tahun beraksi dalam kancah profesional yang berakhir pada tahun 2003.

Beliau juga adalah satu-satunya pemain bola sepak Afrika yang telah memenangi trofi Pemain Terbaik Dunia Fifa. Malah, sekitar 1990-an, Weah berada dalam kalangan penyerang terbaik bola sepak dunia.

Detik gemilang Weah ketika beliau beraksi untuk kelab AC Milan pada tahun 1996 apabila gerakan solonya berjaya menghasilkan jaringan. Aksi itu jadi antara detik paling diingati dalam sejarah.

Weah juga membuat jaringan solo ketika menentang Verona dengan berlari dari kotak penalti kawasannya selepas mengelecek hampir keseluruhan pemain pasukan lawan.

Kesemua kejayaan yang diperoleh Weah bermula pada usia 21 tahun. Kehidupan Weah berubah apabila pemilik kelab Arsenal, Arsene Wenger melihat dia bermain untuk pasukan di Cameroon.

Weah dibawa berpindah ke liga Eropah oleh Arsene Wenger menerusi kelab Monaco pada 1988. Sepanjang empat tahun dengan kelab itu, beliau telah menjaring 47 gol.

Beliau pernah membintangi kelab-kelab bola sepak gergasi Eropah seperti Paris St-Germain (PSG) dan AC Milan sebelum menamatkan kerjayanya di England dengan menyertai Chelsea dan Manchester City.

Ketika beraksi dengan PSG, Weah berjaya merangkul gelaran juara liga dan setahun kemudian dinobat penjaring terbanyak bagi Kejohanan Liga Juara-juara.

Kejayaan lelaki yang dilahirkan pada 1 Oktober 1966 itu menyemarakkan lagi kecintaan masyarakat terhadapnya. Beliau bukan sahaja mengharumkan nama Liberia malah telah menjadi idola rakyat.

Sikapnya yang mudah mesra dan jarang mencetuskan kontroversi menjadikan beliau contoh sebagai seorang Presiden.

Weah yang dibesarkan di bandar Clara, Monrovia, Liberia mula menyertai politik selepas persaraannya pada tahun 2002 dengan menjadi senator dalam Parlimen Liberia. Weah merupakan duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan rangkaian politik sebelum beliau menutup kariernya sebagai pemain bola sepak.

Ayahnya, William T. Weah merupakan seorang mekanik manakala ibunya, Anna Quayeweah merupakan seorang peniaga kecil-kecilan. Weah mempunyai tiga adik-beradik lelaki iaitu William, Moses dan Wolo.

Weah tidak pernah melupakan negara asalnya. Dia sering mengeluarkan duit poketnya sendiri. Beliau juga mengambil bahagian dengan bintang sesama Afrika untuk menghasilkan lagu untuk tidak menggalakkan peperangan di Afrika.

Pada tahun 2014, Weah bersama seorang pemuzik Ghana yang popular menghasilkan lagu untuk mewujudkan kesedaran tentang Ebola. Jasa dan sumbangannya itu diingati oleh rakyatnya sehingga ke hari ini.

“Hati George mempunyai kecintaan yang tinggi untuk Liberia, ia sesuatu yang sukar dipercayai,” kata bekas rakan sepasukan, Thomas Kojo kepada Reuters.

Bekas penyerang bola sepak pasukan Chelsea dan AC Milan itu, George Weah mendapat mandat daripada rakyat Liberia untuk menerajui negara tersebut pada pilihan raya tahun berkenaan.

0/komen