Lembu Korban Naik Minyak



PUANG TEDONG bertukar agresif semasa dipindahkan ke kadang di sebuah pusat penyembelihan di Kabupaten Polewali Mandar, Sulawei Barat di Indonesia baru-baru ini

JAKARTA – Lembu korban yang dibeli Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) untuk ibadat korban mengamuk hampir dua jam di Kabupaten Polewali Mandar, Sulawesi Barat di Indonesia.

Haiwan ternakan seberat 1.2 tan yang diberi nama Puang Tedong itu cuba merodok sebarang objek berhampiran, membuatkan orang ramai lari bertempiran untuk menyelamatkan diri.

Menurut laporan, Puang Tedong naik minyak semasa dalam proses dipindahkan ke sebuah rumah penyembelihan di Pasangkayu, Sulawesi Barat pada Isnin lalu.

Penternak dan penjaga asal Puang Tedong, Rahman Takka meminta orang ramai segera berundur dan memberi masa kepada lembu jantan itu untuk kembali bertenang.

Selepas dua jam, haiwan itu kembali stabil dan Rahman membawanya ke kandang berhampiran rumah penyembelihan.

“Ya, saya berasa sedih kerana tidak dapat bertemu lembu ini lagi selepas memeliharanya lebih empat tahun. Pada masa sama, saya gembira kerana lembu ini menarik minat pemimpin nombor satu negara,” katanya.

Lembu jenis Simmental itu lahir pada 21 Disember 2015 dan kini berusia empat tahun tujuh bulan. Puang Tedong mempunyai ukuran tinggi 1.68 meter (m) dan sepanjang 1.86m. Jokowi membelinya pada harga harga 89 juta rupiah (RM26,015).

Sebelum dipindahkan, Rahman menempatkan karpet berharga 2 juta rupiah (RM585) di dalam kandang Puang Tedong untuk memastikan mamalia itu tidur dalam keadaan selesa selain diawasi sekumpulan pengawal.

0/komen