UDANG karang berwarna biru ini ditempatkan di dalam kurungan baharu di bangunan Komodo Kingdom, Ohio, Amerika Syarikat
OHIO, AMERIKA SYARIKAT – Seekor udang karang berwarna biru yang diberi nama Clawde diselamatkan seorang tukang masak selepas dia enggan memasak hidupan laut itu yang dihantar ke sebuah restoran di bandar Cuyahoga Falls di sini baru-baru ini.
Jurucakap Zoo Akron memberitahu, pekerja restoran Red Lobster itu mengetahui spesies udang karang tersebut yang jarang ditemui semasa menerima kiriman bekalan bahan mentah di premis tersebut.
“Kami mendapat tahu tentang Clawde selepas seorang pekerja di restoran itu menghubungi pihak Akuarium Teluk Monterey sebelum merujuk perkara tersebut kepada Zoo Akron.
“Sejurus mendapat maklumat jelas mengenainya, kakitangan zoo kami terus menyediakan tempat tinggal baharu untuk hidupan laut itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Udang karang biru hanya boleh ditemui seekor dalam setiap dua juta ekor dan warna pada cangkerang haiwan itu yang terbentuk disebabkan faktor masalah genetik.
Pihak pengurusan zoo itu turut berkongsi gambar Clawde dalam habitat baharu yang ditempatkan di dalam bangunan Komodo Kingdom.
“Clawde sekarang tinggaldalam kediaman baharu di Zoo Akron, sebuah tangki khas yang dinamakan Gua Clawde oleh penjaganya,” tambahnya
Catat Ulasan