Pencuri Tertua Ini Masih Tidak Insaf



SEORANG lelaki berumur 79 tahun yang dipercayai pencuri tertua di bandar Changsha, China.

HONG KONG – Seorang lelaki berumur 79 tahun di selatan China yang juga dipercayai pencuri paling tua di bandarnya, masih enggan ‘bersara’ walaupun dia tidak lagi cekap untuk melakukan jenayah itu.

Chen Zhenjie yang berasal dari Changsha dalam wilayah Hunan, mula mencuri selepas dia lari dari rumah pada usia 19 tahun.

Zhenjie dipetik sebagai berkata, dia pernah dipenjara sebanyak tiga kali, keseluruhannya selama 13 tahun. Dia ditangkap semula kerana mencuri sebuah telefon bimbit pada bulan lalu.

Warga emas itu yang menghidap batuk kering, tiada wang dan tidak mampu untuk membayar kos rawatan penyakitnya berjumlah AS$23 (RM101).

Kata Zhenjie, dia biasanya menggunakan wang hasil curian untuk berjudi.

“Saya tidak dapat berhenti daripada mencuri,” katanya.

Warga emas itu masih bujang dan hidup bersendirian sepanjang hidupnya.

Menurutnya, dia tidak pernah menyesal atas perbuatannya tetapi berasa sedih kerana tidak dapat menyimpan wang ataupun membina sebuah keluarga.

Usianya yang lanjut menyebabkan Zhenjie kurang lincah dan mudah ditangkap ketika mencuri.



0/komen