Siri AMD Radeon RX 6000


Setelah melancarkan siri CPU terbaru mereka pada awal bulan ini, AMD akhirnya baru sahaja mengesahkan siri kad grafik terbaru keluaran mereka, iaitu siri kad grafik AMD Radeon RX 6000.

Kad grafik ini terdiri daripada tiga model, iaitu AMD Radeon RX 6800, AMD Radeon RX 6800XT dan AMD Radeon RX 6900XT.


Untuk konteks yang mudah, ketiga-tiga model kad grafik ini bukan sahaja hadir dengan kemampuan untuk menggerakkan permainan pada resolusi 1440p dengan kadar segar semula yang tinggi, tetapi juga boleh menggerakkan pelbagai perfmainan komputer moden pada resolusi 4K.

Dari segi rekaan fizikal, ketiga-tiga kad grafik ini dilihat mempunyai rupa yang sama, dimana ia menggunakan tiga kipas penyejukan dan juga akan memakan dua slot pengembangan didalam rangka PC anda.


Seperti yang diketahui sebelum ini, kad-kad grafik ini menggunakan arkitektur grafik baru yang dinamakan RDNA2 yang menjanjikan prestasi gaming pada resolusi 4K sekitar dua kali ganda lebih baik berbanding dengan siri kad grafik AMD Radeon RX 5000 yang dilancarkan pada tahun lepas.

Kad-kad grafik ini juga akhirnya boleh menyokong teknologi Ray-Tracing secara nyata, dan AMD telah bekerjasama dengan Microsoft untuk memastikan kad-kad grafik terbaru ini menyokong API grafik tersebut sebaik yang mungkin.

Bermula dengan kad grafik AMD Radeon RX 6800XT, ia hadir dengan 72 Compute Unit, menggunakan memori GDDR6 sebanyak 16GB dan hadir dengan kelajuan asas 2015MHz dan Boost Clock 2250MHz.


Dari segi prestasi, AMD memperlihatkan skor penanda-aras beberapa permainan pada resolusi 1440p dan 4K pada kadar segar semula tinggi yang bersaing dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 dimana AMD memperlihatkan prestasi yang setaraf dengan kad grafik tersebut.



Beralih kepada AMD Radeon RX 6800 pula, kad grafik ini hadir dengan 60 Compute Unit, menggunakan memori GDDR6 sebanyak 16GB dan mempunyai kelajuan asas 1815MHz dan Boost Clock 2105MHz.


AMD membangunkan kad grafik ini sebagai sebuah pilihan untuk mereka yang ingin mencuba gaming pada resolussi 4K 60FPS, ataupun lebih selesa bermain pada resolusi 1440p dengan kadar segar semula tinggi.


AMD memperlihatkan prestasi kad grafik AMD Radeon RX 6800 apabila dibandingkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti. Melalui skor penanda-aras, kad grafik AMD boleh dilihat menewaskan kad grafik NVIDIA tersebut didalam pelbagai jenis permainan AAA moden.

Pengumuman terakhir yang dibuat oleh CEO AMD, Dr. Lisa Su ialah mengenai kad grafik paling berkuasa mereka, iaitu AMD Radeon RX 6900XT.


Ia hadir dengan 80 Compute Unit, kelajuan cip pemprosesan grafik yang sama dengan AMD Radeon RX 6800XT dan juga memori GDDR6 sebanyak 16GB.


Dari segi prestasi, AMD Radeon RX 6900XT ini dilihat bertarung dengan NVIDIA GeForce RTX 3090 dalam kemampuan menggerakkan permainan komputer pada resolusi 4K dengan kadar segar semula yang tinggi.


Apa yang menariknya ialah kedua-dua kad grafik AMD Radeon RX 6800XT dan AMD Radeon RX 6900XT hanya menggunakan tenaga sebanyak 300W, manakala AMD Radeon RX 6800 menggunakan 250W sahaja.

Terdapat juga ura-ura yang mengatakan bahawa AMD Radeon RX 6900XT akan dikeluarkan oleh AMD sendiri, tetapi ia masih belum disahkan lagi buat masa ini.

AMD turut memperlihatkan harga ketiga-tiga kad grafik ini, bersama-sama dengan tarikh pelancarannya. Ia dijangka bahawa tarikh yang diumumkan adalah untuk pasaran global.

AMD Radeon RX 6900XT – $999 (8 Disember 2020)
AMD Radeon RX 6800XT – $649 (18 November 2020)
AMD Radeon RX 6800 – $549 (18 November 2020)

0/komen