Kahwin Secara Online


SCOTT dan Augustina berkahwin secara online .

BUENOS AIRES, Argentina – Sepasang kekasih menjadi pasangan pertama berkahwin secara online dari dua negara berbeza menerusi aplikasi penstriman langsung, Zoom pada Rabu lalu.

Scott Marmon, 32 dari New York dan kekasihnya yang merupakan warga Argentina, Augustina Montefiori, 28, bercinta selama tiga tahun selepas mereka berkenalan di Denver, Amerika Syarikat (AS).

Pertemuan mereka berlaku pada Mei 2017 semasa Augustina menyertai program pertukaran budaya di AS.

Mereka menjalin hubungan cinta jarak jauh selama setahun sejak Augustina pulang ke Argentina selepas tamat program.

Pada awal Januari lalu, Scott melamar kekasihnya dan merancang berpindah ke Argentina, namun penularan koronavirus memaksa sempadan antarabangsa ditutup.

“Saya sepatutnya berlepas ke Buenos Aires 22 Mac lalu tetapi semua pintu sempadan antarabangsa ditutup bermula 14 Mac ekoran pandemik Covid-19.

“Saya cuba membuat permohonan pengecualian bagi meneruskan perjalanan, namun ditolak pihak berkuasa atas alasan kami belum berkahwin,” kata Scott.

Augustina berkata, mereka tidak berputus asa untuk mendapatkan surat kebenaran bagi membolehkan Scott berlepas ke Argentina tetapi jawapan yang diterima adalah sama iaitu selagi mereka belum berkahwin, permohonan itu tetap akan ditolak.

Pasangan itu kemudian berjaya mendapat lesen untuk berkahwin dari negeri Utah, AS dan mengambil keputusan me­langsungkan upacara tersebut secara online.

Majlis yang berlangsung selama 19 jam itu disertai seorang hakim dari Utah secara maya dengan jarak pengantin lelaki terpisah 6,000 kilometer dari pengantin perempuan.

Augustina ditemani oleh ibu dan jurusolek di hadapan komputer riba, manakala Scott hanya bersendirian sepanjang majlis yang turut dihadiri keluarga dan rakan-rakan secara online.

Mereka adalah pasangan pengantin pertama berkahwin secara online dari dua negara berbeza sejak wabak Covid-19 melanda dunia.

Kini, Scott boleh membayar visa penyatuan keluarga berharga AS$840 (RM3,500) dan terbang ke Argentina untuk bersama isterinya.

Pasangan itu merancang berkahwin semula secara konvensional dan lebih teratur pada Mei tahun hadapan.

0/komen