Kerajaan UK Akan Membelanjakan RM1.3 Bilion Untuk Membantu Syarikat Telekomunikasi



Ia bukanlah suatu rahsia bahawa Huawei adalah diantara segelintir syarikat pembekal kelengkapan teknologi yang mampu membekalkan peralatan 5G yang diperlukan banyak syarikat telekomunikasi pada harga mampu-milik.

Walaupun begitu, banyak kerajaan barat, termasuklah United Kingdom yang telah mengharamkan penggunaan kelengkapan mereka kerana khuatir bahawa data yang dipancarkan melalui tiang-tiang selular Huawei akan disalurkan ke kerajaan China.
 
Perubahan ini bagaikan sebuah pil pahit yang perlu ditelan kerana kelengkapan 5G syarikat-syarikat lain seperti Ericsson dan sebagainya jauh lebih mahal, dan mereka harus menukar kelengkapan tersebut untuk menuruti arahan kerajaan tersebut.

Untuk membantu mengurangkan kos perubahan tersebut, kerajaan UK baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan membelanjakan sebanyak 250 juta pound (~RM1.3 bilion) untuk membangunkan menara-menara 5G baru bermula tahun hadapan.

Kerajaan UK juga mengakui bahawa dengan ketiadaan Huawei di pasaran mereka, harga untuk kelengkapan-kelengkapan ini berpotensi meningkat, dan akan memperkenalkan pasukan petugas untuk meningkatkan jumlah syarikat yang boleh membekalkan kelengkapan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut.

Ia dijangkakan bahawa UK tidak akan menggunakan kelengkapan telekomunikasi Huawei sepenuhnya menjelang tahun 2027 kelak.

0/komen