Melampau...China Tanggalkan Kubah Masjid


Pemandangan Masjid Nanguan sebelum kubah dan perhiasan dibuang


BEIJING – China membuat tindakan membuang kubah dan elemen perhiasan dari semua masjid di negara itu baru-baru ini.

Langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha Beijing untuk menguburkan identiti Islam.

Masjid Nanguan di bandar Yinchuan iaitu ibu negeri wilayah Ningxia yang popular dengan kubah berwarna hijau cerah dan hiasan keemasan antara sasaran gerakan tersebut.

Beberapa gambar yang dikongsi oleh Timbalan Ketua Misi United Kingdom (UK) di China, Cristina Scott menunjukkan semua perhiasan dan warna asal masjid itu dibuang atau di­padamkan.

Hanya papan tanda dengan tulisan Masjid Nanguan dalam bahasa Mandarin dikekalkan di bangunan itu.


Hanya papan tanda bertulis Masjid Nanguan dalam bahasa Mandarin dikekalkan


Gerakan penguburan budaya itu termasuk merobohkan ge­reja dan masjid dengan menggunakan jentolak, mengharamkan kanak-kanak Tibet belajar subjek keagamaan Buddha dan mema­sukkan jutaan penduduk etnik minoriti beragama Islam ke dalam kem tahanan yang dina­makan sebagai kem ‘jati diri’.

Presiden Xi Jinping mengarahkan semua agama perlu mempunyai elemen ‘keChinaan’ bagi memastikan mereka setia kepada parti komunis yang tidak mempercayai kewujudan tuhan.

Lewat tahun lalu, pemerintah China mengarahkan semua buku keagamaan disemak dan disun­ting bagi memastikan kandu­ngannya menyampaikan mesej ber­asaskan prinsip sosialisme.

Sosialisme adalah ajaran atau fahaman yang menyarankan supaya semua hasil bumi diurus oleh pemerintah dan kekayaan diagih-agihkan kepada rakyat.

Edisi baharu buku-buku tersebut tidak boleh mengandungi apa-apa ajaran yang bertenta­ngan dengan kepercayaan Parti Komunis, demikian menurut pegawai tinggi kerajaan dalam hal ehwal keagamaan.

Di China, semua masjid dan bangunan keagamaan perlu didaftarkan dengan pemerintah sebelum boleh beroperasi secara sah.



0/komen