Punca Orang Jepun Tak Nak Beli, Simpan Kereta Lama-Lama


PERNAHKAH anda tertanya, kenapa kereta rekon (reconditioned) yang dibawa masuk untuk dijual di pasaran Malaysia kebanyakannya datang dari Jepun?

Kereta rekon boleh saja disamakan sebagai kereta terpakai, tetapi kalau datang dari Jepun, rata-rata masih dalam kondisi baik. Memang ada kalangan penjual tempatan yang terbabit dalam isu menipu status sebenar kereta rekon yang diimport, tetapi kita juga tidak boleh menafikan kebanyakan kereta rekon dari Jepun adalah antara terbaik dunia.

Kenapa pula begitu? Ini kisahnya....

Kos Pemilikan Mahal

Kerajaan Jepun melaksanakan sistem pemilikan kereta yang sangat ketat hingga membuatkan penduduk di sana lebih selesa menaiki kenderaan awam.

Ini kerana selepas tiga tahun, kereta perlu menjalani ujian kenderaan yang boleh kita samakan seperti pemeriksaan Puspakom versi Jepun, tetapi lebih ketat dan terperinci. Pemilik kereta kena buat  'Ujian Shaken' (ujian goncangan?) setiap dua tahun.

Inilah punca banyak kereta pemilik Jepun berakhir di kapal kargo selepas tiga tahun. Soalannya, teruk sangat ke 'Ujian Shaken' itu?

Apakah 'Ujian Shaken'?


Di Jepun, jika memiliki kenderaan dengan sesaran enjin lebih 250cc, anda diwajibkan menjalani ujian menyeluruh untuk menentukan tahap kesesuaian kereta dipandu atas jalan. 

Apakah jenis pemeriksaan yang akan dilakukan dalam 'Ujian Shaken'?
  • Pemeriksaan setiap bahagian dan kelengkapan.
  • Penilaian ketepatan bacaan meter.
  • Pemeriksaan arah tayar digerakkan atas penggolek pada kelajuan 40kmj supaya meter dapat dilaraskan semula jika perlu.
  • Ujian asap. Tahap karbon monoksida akan diukur dengan penanda aras berbeza mengikut usia kenderaan.
  • Ujian sistem brek.
Jika lulus semua ujian di atas, kereta anda akan diuji pula untuk bahagian atau komponen kecil seperti lampu brek, lampu signal, dan bawah enjin untuk mengesan sebarang masalah yang ada. Kemudian barulah diluluskan.

Berapakah Caj Ujian?

Caj pemeriksaan kenderaan kecil ialah 100,000 yen (RM3,700), manakala kenderaan besar pula mencecah hingga 200,000 yen (RM7,390) untuk sekali ujian. 😱

Apa Jadi Kalau Ujian Gagal?

Kereta yang gagal ujian perlu mengeluarkan kos tinggi untuk dibaik pulih. Contohnya, jika saiz tayar didapati tidak sesuai dengan kereta, anda perlu tukar tayar itu dulu dan datang semula sebelum diluluskan (sama macam syarat Puspakom). Spesifikasi tayar pula perlu disesuaikan mengikut musim cuaca di Jepun. Mujurlah tiada salji di Malaysia.

Jika dikesan melakukan modifikasi atau menggunakan alat ganti tidak ikut spesifikasi, kereta anda terus saja dapat pelekat khas yang menyatakan tidak lagi selamat dipandu atas jalan. 😭

Kos Baik Pulih Tinggi, Bengkel Susah Cari


 

Lagi, kos baik pulih kenderaan di Jepun juga sangat tinggi kerana penawaran perkhidmatan bengkel sangat rendah dan kurang popular di sana. Situasi ini tidak sama seperti Malaysia yang bengkel kereta dapat ditemui di mana-mana.

Ini menyebabkan pihak bengkel di Jepun mengenakan caj mahal dengan senarai baik pulih tidak masuk akal, sekali gus membuatkan rata-rata pemilik yang gagal dalam 'Ujian Shaken' memutuskan melupuskan saja kereta mereka, atau jual kepada pasaran kereta terpakai.

Ramai pemilik Jepun berpendapat kos menanggung 'Ujian Shaken' tidak berbaloi. Lebih baik dieksport saja ke luar negara untuk pasaran kereta terpakai (second hand) supaya tidak terbeban memikirkan masalah kos baik pulih dan penyelenggaraan yang tinggi.

Dengan purata pemilikan tiga tahun, tidak hairanlah kenderaan dari Jepun mencatatkan jumlah perbatuan odometer rendah yang menjadi buruan banyak pengimport kereta terpakai dunia. Kebaikannya, ramai pembeli seperti di Malaysia dapat memiliki kereta idaman mereka pada harga yang berkali ganda lebih murah daripada kereta asal, malah kondisi juga macam baharu.



0/komen