وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan (yang sebenarnya) sesiapa yang bertawakal kepada Allah (dengan sepenuh-penuh yakin, maka Allah akan menolongnya untuk mengalahkan musuh yang lebih besar bilangannya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
[Surah al-Anfal 49]
Imam Ibnu Rejab rahimahullah dalam Jami’ul Ulum wal Hikam mengatakan:
”Tawakkal adalah penyandaran hati sebenar-benarnya kepada Allah swt untuk meraih berbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya baik dalam urusan dunia mahupun akhirat, menyerahkan semua urusan kepada-Nya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa ‘tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya, dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata-mata'"
Dalam menjayakan tawakkal haruslah memenuhi dua unsur:
- Bersandarnya hati pada Allah.
- Melakukan usaha.
Inilah cara merealisasikan tawakkal dengan benar. Tidak sebagaimana anggapan sebahagian kita yang menyangka bahawa tawakkal hanyalah menyandarkan hati pada Allah, tanpa melakukan sebarang usaha atau melakukan usaha namun tidak bersungguh-sungguh.
Sahl At-Tusturi rahimahullah berkata:
"Barangsiapa mencela usaha maka dia telah mencela sunnatullah (ketentuan yang Allah tetapkan). Barangsiapa mencela tawakkal (tidak mahu bersandar pada Allah) maka dia telah meninggalkan keimanan”
Hayati kisah ini moga menjadi pelajaran dan pengajaran kepada kita semua:
Sayidina Umar bin al-Khattab pernah melihat sekelompok orang yang ngaku sebagai orang yang bertawakkal, namun mereka tidak melakukan apa-apa usaha. Sayidina Umar bertanya kepada mereka: “Siapakah kamu?” “Kami adalah mutawakkiluun, orang yang bertawakkal”, jawab mereka.
Sayidina Umar lantas menjawab:
“Tidak. Kamu adalah mutaakkalun (orang yang hanya menunggu diberi makan)”
Iaitu mereka sebenarnya hanyalah orang yang hanya menunggu pemberian orang lain dan bukan orang yang bertawakkal kerana orang yang bertawakkal seharusnya melakukan usaha.
Sayidina Umar pun mengatakan:
لقد علمتم أن السماء لا تمطر ذهبا ولا فضة
“Kalian telah mengetahui bahawa langit sama sekali tidak menurunkan hujan emas atau hujan perak.”
Ini beliau katakan untuk mengingkari orang yang hanya duduk untuk ibadah namun tidak punya usaha untuk meraih rezeki. Mereka sebenarnya orang-orang pemalas yang mengharapkan pemberian orang lain. Lantas Sayidina Umar pun mengherdik mereka (agar keluar mencari rezeki/bekerja).
♡Yakinlah bahawa Allah akan mencukupi segala urusan orang yang bertawakkal kepadaNya dengan diiringi usaha yang bersungguh-sungguh♡
Catat Ulasan