Tahun 2021 adalah tahun yang penting untuk masa depan tamadun manusia. Memang ayat tadi sedikit bombastik tetapi penemuan vaksin yang mampu menentang Covid-19 adalah perlu untuk dunia kembali ke zaman sebelum pandemik. Harapan ini semakin meningkat selepas Pfizer mengumumkan calon vaksin yang dibangunkan mereka bersama BioNTech menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.
Ujian klinikal fasa ketiga yang baru sahaja selesai didapati berkesan menghalang jangkitan Covid-19 sehingga 90%. Ia melibatkan 43,000 peserta dengan satu kumpulan menerima dua dos vaksin dalam tempoh tiga minggu dan satu lagi dos plasebo. Walaupun tidak mampu menghalang jangkitan 100%, vaksin berasaskan mrna ini adalah yang paling berjaya setakat ini kerana tidak menunjukkan sebarang kesan negatif pada penerima.
Sebuah lagi calon vaksin oleh Oxford University dan AstraZeneca juga sedang menjalani ujian klinik fasa ketiga dengan keputusan bakal diumumkan beberapa minggu sahaja lagi. Ujian terpaksa dihentikan seketika selepas seorang peserta meninggal dunia di Brazil bulan lalu
Di Malaysia kerajaan akan membelanjakan sehingga RM3 bilion untuk pemberian vaksin menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan minggu lalu.
Catat Ulasan