Oppo kini telah memperkenalkan siri telefon pintar Reno5 secara rasminya di China. Dua model diumumkan, iaitu Oppo Reno5 5G dan juga Oppo Reno5 Pro 5G.
Kedua-duanya hadir dengan sejumlah ciri lebih kurang sama, termmasuk sokongan skrin kadar segar semula 90Hz, dilengkapi empat-kamera belakang dengan sensor utama 64-megapixel, dan menyokong pengecasan SuperVOOC 2.0 sepantas 65W.
Pertama dibawah siri ini adalah Oppo Reno5 5G. Ia hadir dengan skrin 6.43-inci OLED dengan kadar segar semula 90Hz, dijana cip Snapdragon 765G, memori sehingga 12GB LPDDR4X, dan storan 256GB UFS 2.1.
Untuk rakaman gammbar, ia menyertakan empat kamera belakang dengan sensor utama 64-megapixel + 8MP (Ultra-Lebar) + 2MP (makro) + 2MP (mono). Ia turut menyertakan kamera swafoto 32-megapixel pada bahagian skrin berlubang dihadapan. Melengkapkan ia juga adalah bicu audio 3.5mm, selain pengimbas cap jari pada skrin. Oppo Reno5 5G menyertakan bateri 4300mAh dengan pengecasan pantas 65W.
Oppo Reno5 Pro 5G pula hadir dengan skrin 6.55-inci OLED dengan kadar segar semula 90Hz, dijana cip MediaTek Dimensity 1000+, memori sehingga 12GB RAM, serta storan sehingga 256GB.
Ia turut menyertakan empat kamera belakang dan kamera swafoto sama seperti versi asasnya. Telefon pintar ini menyertakan pengimbas cap jari pada skrin, menggunakan sokongan audio berasaskan USB-C, serta bateri 4350mAh dengan pengecasan pantas 65W.
Disamping kedua-duanya, Oppo juga turut mengumumkan mereka akan hadir dengan Oppo Reno5 Pro+ 5G pada 24 Disember 2020 ini, yang mana hadir dengan skrin 6.55-inci AMOLED, dijana cip Snapdragon 865, selain kamera utama 50MP, serta bateri 4500mAh dengan pengecasan pantas 65W.
Buat masa ini, siri peranti ini hanya diumumkan di China sahaja.
Catat Ulasan