Pocong Suka Merompak ...?


JAKARTA – Penduduk Solo sebelum ini sering digemparkan dengan kemunculan perompak yang berpakaian seperti hantu pocong untuk menjalankan operasi jenayahnya di bandar raya itu.

Namun kini, ratusan ribu penduduk wilayah Jawa Tengah itu tidak lagi perlu bimbang ditakut-takutkan, kerana si ‘pocong’ tersebut sudahpun ditangkap – dengan keadaannya masih lagi berbalut dengan kostum putihnya itu.

Hal tersebut disahkan oleh seorang pengguna Facebook tempatan, Abu Yahya Guba,  lalu memuat naik gambar perompak berpakaian seperti pocong itu secara live.

Gambar berkenaan menunjukkan si ‘pocong’ iaitu seorang lelaki ditangkap oleh polis Solo atau nama baharunya, Surakarta yang berpakaian preman. Kota itu merupakan tempat kelahiran Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Abu Yahya juga menulis bahawa para penunggang motosikal seharusnya tidak perlu rasa takut atau bimbang berdepan dengan ‘hantu’ seperti itu jika secara kebetulan bertembung makhluk tersebut sekali lagi.

Ini kerana rasa takut akan membuat para perompak ‘pocong’ tersebut yang sering menyasarkan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang panik sebagai mangsa mereka semakin bermaharajalela.

Malah, beliau turut menyarankan beberapa langkah berkesan untuk mengatasi perompak ‘nakal’ yang kreatif mengenakan cosplay pocong menyeramkan seperti itu, lapor media republik berkenaan lagi.

Antaranya ialah tetap tenang meskipun berdepan dengan si ‘pocong’, dan jika perlu, tendang sahaja ‘hantu’ itu. Yang pasti, si ‘pocong’ masih tetap takut dengan polis!


 

0/komen