Ahli Nujum Negara Masai : Di manakah terletak kekuatan Datuk Laksmana Hang Tuah? Di kerisnyakah? Di tenaganyakah?
Nujum Pak Belalang : Kekuatan Datuk Laksmana Hang Tuah bukanlah terletak di kerisnya ataupun di tenaganya.
Ahli Nujum Negara Masai : Di manakah terletaknya?
Nujum Pak Belalang : Kekuatan Datuk Laksmana Hang Tuah adalah terletak di atas huruf Ta'nya (huruf T).
Ahli Nujum Negara Masai : Huruf Ta'?
Nujum Pak Belalang : Benar...
Ahli Nujum Negara Masai : Buktikan!!!
Nujum Pak Belalang :
Oleh sebab huruf ta'lah (huruf T) yang menguatkan ejaan Tuah. Ta' Waw Alif Ha' (TUAH). Cuba huruf Ta' (huruf T) digantikan dengan huruf Ba' (huruf B).
Ahli Nujum Negara Masai : Buah...
Nujum Pak Belalang : Datuk kenal pada Hang Buah?
Ahli Nujum Negara Masai : Tak kenal...
Sila baca ikut gaya penyampaian dari kedua-dua watak ini untuk menghayatinya. Boleh tengok balik cerita Nujum Pak Belalang untuk tahu gaya penyampaian mereka.
Sedikit petikan yang diambil dari cerita P Ramlee yang bertajuk Nujum Pak Belalang sebagai muqaddimah untuk post kali ini. Saya tak pasti sama ada sedutan cerita seperti di atas yang dibawakan oleh P Ramlee fakta ataupun sekadar gurauan tapi rasanya hanyalah gurauan semata. Adakah kita kenal dengan Hang Buah??? Pastinya semua tidak mengenali Hang Buah.
Tapi yang kita kenal melalui sejarah adalah Hang Tuah bukannya Hang Buah. Inilah yang nak dikaitkan dalam post kali ini berkaitan dengan nama. Nama adalah sangat penting bagi setiap individu.
Nama merupakan simbol khusus yang dapat membezakan seseorang itu dengan orang lain. Kalau kita perhatikan, dalam sesi ta'aruf (perkenalan) perkara pertama yang akan kita tanya atau yang akan diberitahu oleh orang yang memperkenalkan diri itu adalah nama. Bermakna, kita mula mengenali seseorang itu melalui nama mereka. Ini menunjukkan kepentingan nama bagi setiap individu.
Pasangan suami isteri yang bila mana mengetahui bahawa mereka bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi, maka perkara pertama yang akan difikirkan adalah nama yang akan diberikan kepada anak yang bakal lahir itu, sama ada lelaki mahupun perempuan. Perkara ini sesuai dengan saranan Junjungan Besar Nabi kita Muhammad agar menamakan anak yang telah dilahirkan. Sabda nabi yang bermaksud
Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya, ia hendaklah disembelih pada hari ketujuhnya dan pada hari itulah ia diberikan nama dan dicukur kepalanya.
Begitu juga bagi mereka yang ingin menubuhkan sesebuah syarikat, restoran, sekolah dan sebagainya maka pastilah nama untuk syarikat mereka itu menjadi agenda penting untuk dibincangkan dan difikirkan. Alhamdulillah di Malaysia, kebanyakan nama-nama yang diberikan oleh ibu bapa untuk anak mereka semuanya nama yang baik-baik belaka. Tambahan pula orang Malaysia ini suka memberikan nama yang panjang untuk anak mereka. Cuma yang sedihnya orang Malaysia ni suka memendekkan nama seseorang itu untuk panggilan mereka.
Contoh kalau nama Muhammad (yang terpuji) maka orang Malaysia ni lebih suka untuk memendekkan jadi Mad je. Kalau Badruddin (cahaya agama) maka akan jadi Bad. Satu lagi perangai orang kita ini suka memberikan gelaran yang pelik-pelik mengikut perwatakan individu itu. Contoh kalau seseorang itu bertubuh badan agak besar maka akan digelar bear, debab atau montel. Ada juga yang mendapat gelaran buaya, monyet, superman, kucing, juling, jongang dan sebagainya.
Perkara seperti ini seakan sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita. Perlu kita ingat bahawa, setiap apa yang kita ucapkan itu merupakan doa. Begitu juga dengan panggilan nama untuk seseorang itu juga merupakan doa. Maka sebaiknya adalah dengan memperelokkan panggilan kita itu sesuai dengan nama yang telah diberikan kepada individu itu. Kalau namanya Muhammad maka panggillah dengan Muhammad. Jangan dipendekkan jadi Mad je sebab tak ada maksud untuk panggilan Mad tu. Perlu diingat juga, setiap gelaran yang kita letakkan ke atas individu itu, selagi mana orang yang kita gelar itu tidak redho dengan gelaran yang kita berikan maka selama itulah kita akan berdosa. Makanya, eh terbahasa Indon pulak. Oleh itu, jangan kita senang-senang untuk berikan gelaran pada orang kalau gelaran itu sendiri kita tidak suka untuk diletakkan ke atas diri kita. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Rasanya agak susah untuk kita ubah panggilan terhadap seseorang itu setelah bertahun-tahun kita memanggilnya dengan panggilan itu contoh macam Mad tadi nak tukar panggil Muhammad. Memang susah bagi mereka yang menganggap ianya susah. Betul tak??? Anggaplah ia mudah bagi kita. Kalau susah sangat pun, diharap cuba juga untuk menukar panggilan kita itu
Panggillah saudara @ sahabat kita sesuai dengan nama yang telah diberikan kepada dia. Jangan dipendekkan contoh macam Ali kita panggil Li je. Kalau dipendekkan pun biarlah yang mempunyai maksud. Asalkan panggilan nama itu baik, maka teruskan untuk memanggil seperti itu. Doakan perkara yang baik untuk sahabat @ saudara kita melalui panggilan yang baik kepada mereka dengan harapan nama (yang bagus maksudnya) yang kita sebut itu terjelma dalam peribadi saudara @ sahabat kita. Untuk akhirnya ada 3 benda yang boleh disimpulkan dalam post kali ini
Berikanlah nama kepada anak-anak dengan nama yang baik dan bagus maksudnya. Untuk panduan cara memilih nama yang baik untuk anak anda, sila ke laman web ini halaqah.net
Memanggil sahabat-sahabat kita dengan panggilan sesuai dengan nama yang diberikan contoh Badruddin (cahaya agama), maka jangan dipendekkan jadi Bad (kalau sebut dalam B.I tak ke jahat maksud dia) je.
Jangan memberi gelaran kepada sahabat @ saudara kita melainkan gelaran-gelaran yang baik..
Catat Ulasan