Jam Tangan Pintar Khusus Untuk Wanita


Teknologi secara lazimnya direka oleh lelaki untuk lelaki. Akibatnya pelbagai ciri tidak sesuai digunakan oleh wanita atau tidak disertakan kerana tidak mampu difikirkan pereka lelaki. Garmin Lily ialah jam tangan pintar yang menurut Garmin direka khusus untuk wanita yang menjejak kesihatan mereka.

Dua model dihasilkan iaitu Garmin Lily dan Garmin Lily Sport. Kedua-duanya juga mempunyai tubuh sebesar 34mm yang jauh lebih kecil berbanding penawaran jam tangan pintar lain di pasaran. Perbezaan terletak pada bahan binaan tali sahaja di mana Lily diperbuat daripada kulit manakala Lily Sport pula dari silikon. Keunikan Lily ialah apabila skrin tidak aktif, corak yang menarik pada muka jam akan dapat dilihat tanpa menggunakan bateri.




Ia hadir dengan ciri asas seperti mengira langkah, kalori, degupan jantung dan SPO2 darah. Seperti jam tangan pintar lain notifikasi peranti pintar boleh dipaparkan pada skrin sejurus selepas ia diterima.

Ciri tambahan khusus untuk wanita ialah penjejakan kitaran haid dan kehamilan. Rekaannya juga lebih feminin untuk wanita dengan tubuh yang berkilat serta rekaan yang bergaya untuk dipadankan dengan busana harian.

Garmin Lily ditawarkan pada harga $249 (~RM1011) dalam pilihan tiga warna dan Garmin Lily Sport pula pada harga $199.99 (~RM809) juga dalam tiga pilihan warna.
 

0/komen