Singapura ialah sebuah negara republik yang menjadi lokasi kegemaran pelbagai syarikat-syarikat teknologi terbesar di dunia yang menjadikannya hab di rantau Asia Tenggara.
Dengan itu, tidak hairanlah Singapura telah mula menguji sistem bas swapandu secara terhad yang boleh dinikmati oleh orang ramai. Ujian ini, yang akan dijalankan selama tiga bulan bermula minggu ini, membolehkan orang ramai menaiki bas swapandu di sekitar kawasan Singapore Science Park.
Penumpang boleh menempah tempat duduk didalam bas ini melalui sebuah aplikasi, dan tambang untuk menaiki bas ini adalah serendah SGD$0.20 (RM0.60) sahaja.
Walaupun bas ini secara teknikalnya tidak memerlukan pemandu, oleh kerana ia masih lagi berada dalam fasa ujian, seorang pemandu masih lagi akan berada di tempat duduk pemandu untuk memastikan bas ini tidak menyebabkan kemalangan secara tidak sengaja.
Ini bukanlah kali pertama kerajaan memperkenalkan ujian kenderaan swapandu di jalan-jalan mereka. Pada tahun 2015, satu ujian bas swapandu telahpun dijalankan, dan baru-baru ini, kerajaan Singapura juga telah mula menguji kenderaan penyapu jalan untuk memastikan jalan-jalan raya di negara tersebut kekal bersih.
Catat Ulasan