TOKYO – Sekumpulan doktor di Jepun berjaya mengeluarkan sebatang pencungkil gigi kayu yang terlekat dalam rektum seorang warga emas, dipercayai berada di situ selama dua bulan.
Menurut laporan Jurnal Perubatan British (BMJ) pada minggu ini, lelaki berumur 67 tahun itu berkunjung ke hospital selepas berasa sakit di bahagian punggung dan paha.
Pada mulanya, doktor menyangka kesakitan yang dialami oleh pesakit itu disebabkan oleh stenosis iaitu penyakit saraf tunjang belakang.
Doktor melakukan ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi mengesan punca kesakitan yang membawa kepada penemuan misteri pencungkil gigi. Ia dipercayai ditelan pesakit itu secara tidak sengaja.
Tusukan pencungkil gigi yang menekan beberapa saraf tulang belakang membuatkan pesakit itu mengalami simptom seperti penyakit stenosis.
“Imbasan Tomografi Berkomputer sebelum pembedahan menunjukkan satu struktur batang panjang dan nipis kira-kira 7 sentimeter dalam rektum, dipercayai pencungkil gigi yang ditelan secara tidak sengaja,” menurut jurnal itu.
Enam hari selepas penemuan itu, lelaki berkenaan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan pencungkil gigi sekali gus menghilangkan kesakitan yang dialami sebelum ini.
“Rasa sakit itu hilang selepas bendasing dikeluarkan dan gejalanya tidak berulang sejak itu,” lapor jurnal BMJ.
Laporan itu menyatakan apabila kesakitan seseorang berpunca akibat kewujudan bendasing dalam rektum, ada kemungkinan besar bahawa objek tidak berada di situ dengan sengaja.
Catat Ulasan