Sony FX3 Dilancarkan


Sony FX3  telah diumumkan. Seperti yang dijangka Sony FX3 ialah kamera yang direka khusus untuk tujuan perfileman. Dari segi spesifikasi ia adalah sama seperti Sony A7S III yang diumumkan Julai tahun lalu.
Perbezaan terletak pada tubuh yang lebih kecil untuk memudahkan ia dimasukkan ke dalam rig kamera dan juga gimbal. Tiada EVF disertakan kerana biasanya monitor tambahan digunakan oleh penggiat seni. Akhir sekali tubuh FX3 lebih tebal kerana kamera dilengkapi sistem penyejukan kipas aktif bagi membolehkan rakaman yang lebih panjang dilakukan. Butang rakaman video yang besar turut diletakkan pada bahagian atas.

Kamera ini dilengkapi sensor 12.1 Megapixel CMOS Exmor RS dengan cip pemproses imej BIONZ XR. Cip pemproses imej ini adalah sehingga lapan kali ganda lebih berkuasa berbanding cip BIONZ X generasi terdahulu. Ini sekaligus mempercepatkan pemprosesan imej serta video.

Sistem penstabilan lima paksi disertakan dalam tubuh memastikan gambar dan video diambil kelihatan tajam. Sebuah skrin LCD sesentuh sebesar 3 inci pula diletakkan di belakang dengan engsel multi sudut.



Sensor mempunyai julat ISO dari 40 hingga 409,600. Rakaman gambar pula adalah sehingga 10 bingkai sesaat dan 1000 gambar berterusan. Kemampuan rakam video pula adalah sehingga 4K 120p dengan warna 10 bit 4:2:2. Walaupun ia sebuah kamera digital yang dilancarkan pada tahun 2020, adalah sedikit aneh ia masih tidak menyokong rakaman 8K.

Selain itu kamera dilengkapi bicu mikrofon, bicu fon kepala, sokongan WiFi, USB-C USB 3.2 dan dua slot kad memori CFexpress Type A. Di Amerika Syarikat Sony FCX3 dijual pada harga $3,900 (~RM 15,765) , $400 lebih mahal berbanding A7S III.

0/komen