Sebuah Pengorbanan


Semasa didalam PPH dahulu , saya tidak pernah menolak untuk masuk operasi didalam hutan ,waimma pun dengan membawa platun lain bagi menggantikan ketua platunnya yang sakit atau ada hal hal kecemasan .

Bagi saya kehidupan didalam hutan amat mendamaikan , terutamanya apabila kita membuat base dipermatang gunung .Dengan udaranya yang segar diiringi kicauan burung burung dan nyanyian riang riang dikala senja amat menenangkan perasaan dan mampu melupakan hakikat kehidupan sebenar kita .

Lupakan kepayahan untuk mendapatkan air apabila kita berkhemah diatas permatang . Keperluan air adalah hanya untuk memasak dan keperluan tersebut biasanya akan disediakan oleh runner kita .

Untuk mandi tidak menjadi masalah .Doakan sahaja agar hujan turun .Jika hujan tidak turun dalam tempuh sepuluh hari bermakna sepuluh harilah tubuh badan kita tidak akan bertemu dengan air .

Lupakan terus juga bab bau badan .Didalam hutan bau badan kita dan anggota semua dah hampir sama dengan bau mawas .Jadi tiada siapa lagi perasan akan bau badan masing masing .

Tetapi ingat .Apabila tiba masa BKP , mandilah dulu sebersih bersihnya...kalau boleh gunakan sabun dan gosok badan tu dengan akar akar kayu.
Jika tiada sabun gunakan daun daun kayu yang telah dipelajari untuk membantu  membersihkan badan ..jangan tersilap pilih daun daun kayu yang gatal dan miang pulak .

Pernah suatu hari apabila mendapat arahan BKP , oleh kerana sukar untuk mendapatkan anak sungai , satu platun BKP ke KL dengan menaiki lori dan Land Rover tanpa sempat mandi dan membersihkan diri terlebih dahulu .
Oleh kerana perjalanan yang jauh , kami terpaksa singgah dikedai makan ditepi jalan bagi mengalas perut .

Kami akhirnya terjumpa sebuah kedai makan yang agak besar dan dijangka mampu untuk menampung kehadiran kami seramai satu platun atau anggaran empat puluh orang anggota .

Apabila kami sampai didalam kedai terus mengambil makanan yang telah tersedia ditempatnya .

Bangaimanapun kesemua orang awam yang sedang makan didalam kedai telah memandang kearah kami sambil menutup hidung.Dan ada yang raut mukanya seolah olah ingin termuntah .

Pelanggan yang baru masuk , terus membuat U Turn dan cepat cepat berlalu dari kedai itu.

Pelayan pelayan kedai tidak lagi ingin mengambil pesanan air untuk minuman kami .

Kesemua mereka berlalu sambil menutup hidung .

Kami agak kehairanan ..apa salah kami sehingga kami dilayan sebagitu rupa .
Tidak lama kemudian , datang seorang lelaki separuh umur bagitahu orang orang awam yang berada didalam kedai tersebut telah mengadu kepadanya tentang bau yang hadir bersama kedatangan kami dikedai makan tersebut .

Saya terdiam .

Saya mencium bau badan dan pakaian saya ..tetapi ok saja tiada sebarang bau yang muncul .

Akhirnya saya telah mengarahkan agar semua anggota agar menghabiskan makanan dengan segera dan saya telah membayar dahulu harga kesemua makanan tersebut .Jika diambil bayaran seorang demi seorang , saya takut kesemua orang awam didalam kedai tersebut termasuk tuan punya kedai akan pengsan nanti .

Sewaktu keluar dari kedai , saya yang masih tidak berpuas hati mencium sekali lagi bau dibahagian lengan dan uniform saya .

Masih sama ..tiada apa apa bau yang menjengkelkan ..kalau ada pun bau bau dan wangian harga sebuah pengorbanan .

Tetapi itu bagi kami ..bagi orang awam agaknya bau yang terbit dari kumpulan kami adalah bau yang  meloyakan , bau yang sama yang datangnya dari seekor mawas .

Kalau seekor mawas agaknya mungkin mereka masih boleh bertahan ..tetapi yang datang ini empat puluh ekor mawas ..

Hmmm... sabar jer lah .

0/komen