Setiap tahun model baharu diperkenalkan dengan penambahbaikan mengikut keperluan pasaran. Kini Lenovo ThinkPad X1 Carbon Gen-9 akhirnya ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM 8199 untuk model asas Intel Core-i5 Gen-11 dan meningkat ke RM 14,219 untuk model dengan spesifikasi Intel Core-i7 Gen-11, 16GB RAM dan storan 2TB SSSD.
ThinkPad X1 Carbon Gen-9 ditawarkan dengan skrin 14″ FHD sesentuh atau 4K tanpa sokongan sesentuh, dijana cip sehingga Intel Core i7-1185G7 generasi ke-11, grafik terbina Intel Iris Xe, memori sehingga 16GB LPDDR4X 4266 MHz, storan SSD sehingga 1TB M.2 2280, PCIe-NVMe OPAL dan bateri 57 Wh yang menyokong pengecasan pantas 65W. Bateri pada model tahun ini lebih besar berbanding Gen-8 dengan bateri 51Wh.
Papan kekunci berlampu dari jenis Smiley, pad sesentuh dan tombol penjejak ThinkPad kesemuanya masih dikekalkan. Kamera web yang disertakan pula kini mempunyai penutup fizikal ThinkShutter yang mengelakkan diri diintip walaupun peranti telah digodam. Terdapat pilihan untuk kamera infra merah yang menyokong imbasan wajah Windows Hello. Sistem imbasan cap jari juga disokong dengan sensor diletakkan pada butang kuasa.
Seperti model terdahulu, ThinkPad X1 Carbon melepasi piawaian tahan lasak ketenteraan MIL-STD. Pilihan I/O yang diberikan ialah 2 USB-C Thunderbolt 4, 2 USB-C 3.2 Gen 1, satu HDMI 2.0 dan satu bicu audio 3.5mm. Kesemua komponen ini berjaya dimasukkan ke dalam sebuah kerangka seberat 1.13 kg. Sokongan selular 4G dapat dinikmati menggunakan kad SIM bersaiz nano. Selain itu sokongan WiFi 6, bluetooth 5.1 dan NFC juga disertakan untuk melengkapi spesifikasi yang menyasarkan golongan profesional ini.
Catat Ulasan