Samsung Galaxy Book Pro 15 dan Samsung Galaxy Book Pro 13 turut dilancarkan dengan spesifikasi yang sama cuma dengan perubahan pada teknologi engsel skrin dan sokongan rangkaian selular.
Samsung Galaxy Book Pro 15 dan Samsung Galaxy Book Pro 13 masing-masing dengan skrin sesentuh AMOLED 15.6″ dan 13.3″ beresolusi FHD, pemproses Intel Core i3/i5/i7 generasi ke-11, grafik terbina Intel Iris Xe atau Intel UHD Graphics, memori sehingga 32GB LPDDR4X RAM dengan storan sehingga 1TB NVMe SSD. Skrin Galaxy Book Pro boleh dibuka sehingga 180 darjah.
Dengan pengguna pemproses generasi ke-11 ini, komputer riba yang bukan sahaja pantas tetapi juga menawarkan hayat bateri yang laman dapat ditawarkan. Pada model 13″ sokongan 4G dapat dinikmati menerusi kad SIM bersaiz nano. Pada model 15″ pula sokongan WiFi 6E disertakan untuk mendapatkan kelajuan Internet nirwayar terpantas.
Melengkapi rekaan ialah pengimbas cap jari yang terbina pada butang kuasa. Pilihan I/O pula adalah 1x HMDI, 1x USB-C, 1x Thunderbolt 4, 1x USB 3.2 Type A, 1x bicu audio 3.5mm dan pembaca kad mikro SD. Dengan Thunderbolt 4, monitor sehingga resolusi 8K boleh disambungkan sebagai skrin sekunder.
Papan kekunci Pro Keyboard pula dikemaskini dengan mekanisme gunting yang menawarkan travel yang rendah tetapi masih memberikan keselesaan semasa menaip. Kedudukan papan kekunci diubah lebih ke atas bagi memberi ruang kepada pad sesentuh yang lebih besar berbanding model Galaxy Book terdahulu.
Bateri yang disertakan pula adalah sehingga 68Wh yang boleh dicas semula menggunakan port UBS-C. Samsung menjanjikan penggunaan sehingga 20 jam menonton video atau 16 jam melakukan kerja. Dengan pengecasan 30 minit sahaja, hayat bateri sehingga 8 jam boleh dinikmati. Ini mampu dilakukan kerana pengecas 65W menggunakan teknologi GAN. Pengecas ini turut serasi digunakan dengan kesemua peranti pintar Samsung yang lain.
Walaupun cukup berkuasa, ketebalan adalah hanya 11.9mm dengan berat pula di bawah 1.15 kilogram. Keseluruhan tubuh komputer riba Windows 10 Pro/Home ini diperbuat daripada bahan aluminium siri 6000. Seperti pada Galaxy Book Pro 360, kamera masih lagi sekadar 720P yang canggung di dunia di mana kamera beresolusi lebih tinggi telah lama ditawarkan untuk komputer riba.
Menerusi kerjasama dengan Microsoft, integrasi Your Phone dapat dilakukan dengan peranti Android terutamanya siri Galaxy keluaran Samsung. Tidak berakhir di sini, komputer riba juga menyokong ekosistem SmartThing yang membolehkan ia mengawal sistem peranti berhubung Samsung. Dengan kata lain lampu, televisyen, peti sejuk dan pendingin hawa boleh dikawal terus dari sebuah komputer riba Windows. Sokongan Smart Switch juga akhirnya ditawarkan kepada komputer riba Windows 10 buat pertama kali. Pemindahan data dari komputer riba Windows 10 ke Galaxy Book menjadi semudah pada peranti Galaxy.
Samsung Galaxy Book Pro 15 dan Samsung Galaxy Book Pro 13 ditawarkan dalam warna Mystic Navy, Mystic Silver dan Mystic Bronze pada harga $999.99 (~RM4097) sebuah.
Catat Ulasan