Lelong Lamborghini kadbod


Auckland: Lamborghini kadbod hasil ciptaan YouTuber New Zealand berjaya dilelong dengan nilai AS$10,420 (RM43,165).

Menariknya, hasil jualan itu bukan untuk dirinya, sebaliknya disalurkan kepada badan kebajikan, Hospital Starship Children di Auckland.

Pemiliknya, David Jones berkata, kenderaan dinamakan Cardborghini Adventapoor yang diperbuat daripada bahan asas kadbod itu berukuran 1.65 meter (m) lebar dan panjangnya, 3.78 m.

Katanya, hospital terbabit menjadi pilihannya menyalurkan sumbangan kerana pernah mendapatkan rawatan barah ketika usianya 14 tahun.

"Kakitangan di sana semua cool dan mereka menjaga saya dengan baik.

"Saya tak mampu membeli dan tidak mungkin ada orang mahu menyewakan Lamborghini kepada orang yang berusia 22 tahun macam saya ini.

"Jadi, itu membuatkan saya terfikirkan idea ini," katanya .

Menurutnya, Cardborghini dibuat secara dua peringkat di mana bahagian badannya mengambil masa seminggu dan bahagian rangka pemanduan seminggu lebih.

"Kenderaan itu diuji menggunakan roda basikal sebelum dipasang dengan roda kadbod.

"Saya tak sangka dapat sambutan luar biasa macam ini, sedangkan saya cuma jangka ia dapat dijual sekitar AS$50 (RM207)," katanya.

 

0/komen