Misteri Objek Aneh Jatuh Dari Langit


Pada 30 Jun 1908, sekitar jam 7 pagi, satu objek misteri jatuh dari langit dan menghempap satu kawasan di Siberia. Letupan dahsyat di Tunguska itu dikatakan kedengaran sejauh 800 kilometer dari lokasi, menyebabkan sekitar 80 juta pokok musnah.

Kesan hentaman itu menimbulkan satu letupan yang teramat dahsyat dalam sejarah dunia ketika itu.Tidak pernah manusia menyaksikan letupan sedahsyat itu malah bom atom masih belum dicipta ketika objek berkenaan menghempap Bumi.

Objek misteri itu pada mulanya dikesan muncul dari atmosfera di barat China dan menuju ke utara melewati kawasan tengah Russia bersama bunyi berdesing yang teramat kuat.Seterusnya pada jam 7.17 pagi, berdekatan Sungai Stony Tunguska, satu letupan teramat kuat meletus sehinggakan alat seismograf yang terletak di Irkutsk iaitu hampir 900 kilometer dari lokasi letupan mencatatkan bacaan gempa bumi. 

Gegaran turut direkodkan sehingga ke Washington, Amerika Syarikat.Nasib baik, kawasan di mana letupan besar ini berlaku tidak didiami oleh banyak orang. Walaupun seorang penggembala rusa dilaporkan meninggal dunia setelah dia melambung ke pokok dalam letupan itu, turut menyebabkan ratusan rusa hangus. Namun, tiada laporan rasmi mengenai bilangan nyawa manusia yang terkorban.

Di pekan Vanavara yang terletak sekitar 60 kilometer dari lokasi letupan, penduduknya melambung ke udara manakala bumbung rumah runtuh dan cermin tingkap berkecai akibat gegaran itu. Penduduk yang berada berdekatan lokasi letupan pula pekak dipalu bunyi guruh yang boleh didengari sejauh hampir 800
kilometer.

Seorang saksi mengatakan bahawa langit seakan terbelah dua, seluruh bahagian utara langitnya juga diliputi api. Selepas gegaran itu berakhir, kawasan sekitar Tunguska dihujani 'hujan hitam' hasil kotoran dan serpihan yang bertebaran akibat letupan itu. 

Walaupun kejadian itu amat menggemparkan, tiada siapa di kalangan saintis yang tampil mengkaji fenomena berkenaan. Sehinggalah 13 tahun kemudian iaitu pada 1921, seorang saintis Russia, Leonid Kulik, terbaca mengenai letupan aneh di Tunguska itu dalam akhbar lama. Tertarik dengan enigma yang menyelubungi letupan itu menyebabkan dia berusaha menjejaki lokasi hentaman objek misteri berkenaan



Akhirnya selepas enam tahun mencari, pada 13 April 1927, Kulik berdiri di tebing Sungai Makirta dan melihat sendiri betapa luasnya kawasan yang musnah dihentam objek yang dipercayainya sebagai batu meteor itu. Peliknya tiada kesan yang jelas adanya kawah besar terbentuk akibat letupan itu.

Di hadapannya, tanah seluas kira-kira 70 kilometer mendap menjadi bujur dan banyak kesan pohon hutan lama yang tercabut dan terbakar. Dia turun ke kawasan mendap itu dengan harapan dapat mencari kawah akibat hentaman selain batu meteor itu sendiri.

Bagaimanapun, selepas lama mencari, dia tidak menemui apa yang diharapkan sebaliknya menjumpai kawasan hutan aneh di mana pohonnya berdiri tegak seumpama tiang telefon tanpa dahan. Dia mencari lagi tetapi batu meteor itu gagal ditemuinya di mana-mana.

Kepulangan Kulik bersama laporan mengejutkan itu seterusnya menimbulkan pelbagai persoalan membingungkan di kalangan saintis mengenai punca letupan dahsyat itu. Puluhan tahun kemudian, saintis Russia, Aleksander Kazansev mengemukakan bahawa letupan itu mungkin lebih kuat atau sama kuatnya dengan letupan bom atom kerana ia menunjukkan ciri-ciri sama seperti letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 1945.

Antaranya pokok tanpa dahan dan berdiri tegak seperti tiang telefon turut ditemui di Hiroshima selepas dibom Amerika Syarikat. Awam berbentuk cendawan dan hujan hitam selain gegaran seumpama gempa bumi yang berlaku di Tunguska turut berlaku di Hiroshima ketika itu.

Akan tetapi, persoalan membingungkan adalah bom atom masih belum dicipta ketika itu, justeru apakah objek yang mampu menghasilkan letupan yang dahsyat di Tunguska itu? Tanpa sebarang penemuan,hanya pelbagai teori yang dikemukakan, antaranya ia mungkin komet yang berasal daripada gas dan
bukannya batu meteor selain batu meteor itu mungkin berkecai di udara.

Teori lain adalah ia mungkin meteor anti jirim, lubang hitam mini yang melalui Bumi selain kapal angkasa makhluk asing yang terhempas di Bumi. Akan tetapi sehingga kini, tiada siapa yang mengetahui apakah objek itu sebenarnya sekali gus meninggalkan kejadian letupan aneh di Siberia itu kekal misteri
 

0/komen