Tidak Sampai Sehari Miliki Kereta Evo, Lelaki Kemalangan


Seorang lelaki dari Britain ini boleh dikatakan sangat bertuah apabila memenangi sebuah kereta sport berharga £30,000 (RM171,770), namun terpaksa berputih mata apabila kenderaannya  remuk selepas terlibat dalam satu kemalangan.

Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas Adam Griffiths, 27, membawa pulang kereta Mitsubishi Evo IX tersebut ke rumahnya. Dia memenangi kereta itu dalam satu peraduan di internet.

Kereta yang mempunyai kelajuan maksimum 229 kilometer sejam itu remuk pada bahagian hadapan selain rosak teruk pada bahagian belakang. Griffiths dan seorang penumpang tempat duduk hadapan bagaimanapun hanya cedera ringan.


Menurut Polis Wales Selatan, kemalangan itu berlaku pada pukul 6.30 pagi (waktu tempatan) berhampiran rumah Griffiths di Pontypridd.

"Perkhidmatan kecemasan menerima panggilan mengatakan terdapat kejadian kemalangan melibatkan sebuah kereta di lokasi itu. Pemandunya dilaporkan memandu dalam keadaan cuai," ujar seorang pegawai polis.

Sementara itu, Griffiths mengakui kesilapannya memandu secara cuai sehingga mengakibatkan kereta yang baru dimenanginya terbabas.

"Saya mencederakan diri saya dalam kemalangan tersebut dan perlu menerima akibatnya. Namun, saya bertuah kerana penumpang masih boleh berjalan. Kereta itu boleh diganti, namun terdapat perkara lain (nyawa) yang tidak boleh diganti," katanya.

Insiden tersebut mendapat perhatian netizen dengan ramai mengecam Griffiths sehingga memaksa lelaki itu menutup akaun Facebook miliknya.


"Ramai orang mengganggu saya, malah ada yang menghubungi ibu saya sambil berkata bahawa saya patut mati (kerana merosakkan kereta Evo IX)," katanya
 

0/komen