A-4 Skyhawk TUDM


Di sini di ceritakan serba sedikit tentang sejenis pesawat tempur yang pernah mendominasi ruang udara negara kita suatu masa dahulu. Orang lama-lama zaman 90-an dan sebelumnya pasti mengenali pesawat ini.


Untuk pengenalan, mari kita mengenali sejarah awal pesawat ini. Pesawat ini dicipta oleh Ed Heinemann untuk keperluan Tentera Laut Amerika Syarikat dan Kor Marin Amerika Syarikat. Pengeluar pesawat ini ialah McDonnell-Douglass (kini Boeing). Penerbangan sulung pesawat ini pada 22 Jun 1954 dan penghantaran kepada tentera laut Amerika Syarikat bermula akhir tahun 1956. Tentera Laut Amerika Syarikat menamatkan perkhidmatan pesawat ini pada tahun 1967, diikuti Kor Marin Amerika Syarikat pertengahan tahun 1990-an.

Pada tahun 1982, Tentera Udara Diraja Malaysia mengesahkan pembelian 88 buah pesawat kerangka A-4C dan A-4L yang sebelumnya digunakan Tentera Laut Amerika Syarikat yang disimpan di Pengkalan Udara Davis Monthan. Pesawat ini kemudian diubahsuai kepada satu standard A-4PTM (Peculiar to Malaysia).  Kos belian dikatakan hampir AS$88 juta (harga sebuah pesawat dikatakan tidak sampai AS$1 juta). Daripada 88 buah itu, dirancang 54 akan diubahsuai menjadi pesawat pejuang-pengebom satu tempat duduk manakala 14 buah lagi menjadi pesawat latihan dua tempat duduk. Baki pesawat sebanyak 20 buah dijadikan stok alat ganti. 



Namun, hanya 40 buah pesawat yang berjaya diubahsuai, dimodenkan dan dibaikpulih oleh Grumman Bethpage dengan kos lebih kurang AS$320 juta, hampir 4 kali ganda kos pesawat! 34 model A-4PTM dan 6 model TA-4PTM (latihan) berjaya dibina. Penyerahan pesawat ini kepada TUDM bermula pada 23 Februari 1985 dan ditempatkan di TUDM Kuantan, berkhidmat bawah Skuadron No.6 dan Skuadron No.9.

Pesawat ini mulai bermasalah bermula September 1985 apabila sebuah pesawat mengalami masalah enjin semasa mendarat dan meletup di Pengkalan TUDM Kuantan. Juruterbangnya berjaya menyelamatkan diri.

Pada tahun 1988, empat buah pesawat telah terhempas. Satu melibatkan pesawat bekas Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, sementara satu lagi juruterbang ialah Leftenan Wahi Anuar bin Mat Amin TUDM yang telah terhempas di Laut China Selatan, hilang dan sehingga kini masih belum ditemui. Penerbangan Leftenan Wahi Anuar dianggap penerbangan yang tidak pernah sampai kepada tujuannya. Pada tahun 1996, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan bahawa Leftenan Wahi Anuar dianggap meninggal dunia secara rasmi. Pada tahu 1989, lima lagi pesawat mengalami kecelakaan. 


Pada tahun 1994, TUDM mengumumkan Skyhawk akan digantikan dengan BAE Hawk model 108 dan  208 buatan British. Pada 1999, semua pesawat Skyhawk telah ditamatkan perkhidmatannya. 

Pesawat ini dikenali dengan nama ‘keranda terbang’ kerana begitu banyak tragedy yang berlaku dan perolehannya pula pada harga yang tidak munasabah. 48 buah unit pesawat itu langsung tidak diperoleh dan dipercayai masih berada di padang pasir Amerika. Menurut jurnal yang ditulis oleh Mohamad Faisol Keling dan Mohamad Hanapi Mohamad daripada UUM, mereka menyatakan, “Pembelian pesawat A4PTM (Skyhawk) merupakan pembelian pesawat yang terbanyak yang pernah dibuat oleh TUDM. 

Namun begitu, pembelian tersebut juga merupakan satu kesilapan besar di sebelah pihak kerajaan Malaysia. Beberapa kesilapan telah dibuat semasa pembelian tersebut tanpa disedari oleh kerajaan Malaysia. Antara kesilapan adalah kerajaan Malaysia tidak mengambil kira bahawa pesawat-pesawat tersebut telah tersadai lama di padang pasir di Arizona sebelum penjualan dibuat kepada Malaysia. Rangka pesawat-pesawat tersebut telah mengalami degrasi akibat begitu lama di padang pasir sebelum diserahkan kepada TUDM.”

Pesawat A-4 Skyhawk ini masih boleh dilihat di muzium dan di beberapa tempat. Saya pernah melihat pesawat ni menjadi bahan pendidikan di UPM. Muzium-muzium yang pernah saya lihat pesawat ini ialah Muzium TUDM Sungai Besi (sekarang dah ditutup kerana projek Bandar Malaysia 1MDB), Muzium Kapal Selam Melaka, dan Muzium Tentera Darat Port Dickson.


0/komen