Bukan Tok Janggut Yang Terbunuh


Cucu sepupu Tok Janggut, Ustaz Wan Asrul Wan Hussin, 31, mendedahkan Tok Janggut atau nama penuhnya Haji Mat Hassan Munas sebenarnya hanya mengalami cedera di bahu kirinya ketika kemuncak pertempuran dengan British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh pada 24 Mei 1915.


Tok Janggut kemudiannya disembunyikan oleh pengikutnya di Hulu Kelantan (Gua Musang) untuk menyelamatkan beliau.

"Sesudah sembuh daripada kecederaan di bahunya, Tok Janggut berpindah ke Machang sebelum kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu," katanya.



Mengulas mengenai kononnya mayat Tok Janggut diarak di sekeliling bandar Kota Bharu dan kemudiannya ia digantung songsang separuh bogel selama tiga hari, Wan Asrul sekeras-kerasnya menolak dakwaan itu.

Tegas beliau, kisah itu adalah semata-mata rekaan serta dibuat atas desakan British yang mahu menakut-nakutkan orang Melayu bagi memastikan tiada lagi kebangkitan kedua di negeri itu.


"Kebanyakan orang yang tinggal di Kota Bharu tidak kenal wajah sebenar Tok Janggut dan mereka hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut sahaja.

"Dan secara logiknya, jika kita melihat pada faktor fizikal gambar mayat itu, adakah sedemikian rupa seorang Melayu asli? Wajarkah Tok Janggut yang mempunyai ilmu agama tinggi diaibkan begitu?

Gambar mayat itu diperolehi daripada Perpustakaan Bodleian, Oxford, United Kingdom, England hasil usaha tokoh sejarah Allahyarham Prof Datuk Nik Anuar Nik Mahmud ketika melakukan kajian di sana.

Jelas Wan Asrul penampilan fizikal Tok Janggut adalah Melayu Kelantan Asli. Ibunya, Che Mah berasal dari Pattani manakala ayahnya Munas orang Melayu dari Kampung Saring, Pasir Puteh.

"Adik-beradik Tok Janggut termasuk dirinya tiga orang, dua lagi Tahir dan Yah@Sepiah meninggal dunia ketika dilahirkan.

"Tidak ada mana-mana anak-beranak Tok Janggut berwajah Sikh seperti dalam gambar itu. Malah, Tok Samad, iaitu datuk kepada Tok Janggut adalah Melayu Asli dan antara orang yang terawal membuka daerah Pasir Puteh," katanya.

0/komen