".....Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar”.
[Riwayat al-Bukhari, (3364)]
Di atas sebahagian hadis daripada Abdullah bin Abbas RA, disabdakan oleh Baginda Rasulullah saat Siti Hajar mencari air untuk Nabi Ismail dan Allah pancarkan air daripada perut bumi itu yang kemudian menjadi Telaga Zam-Zam.
Peristiwa ini dianggarkan berlaku dalam tahun 1800SM dan muncullah Bani Jurhum hidup bersama Nabi Ismail di Kota Mekah.
Asal usul Bani Jurhum ialah Jurhum bin Qahthan bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyadz bin Sam bin Nuh a.s.
Apabila Nabi Ismail wafat pada umur 136 tahun mengikut beberapa pendapat iaitu dalam anggaran tahun 1664SM, Bani Jurhum itu telah menguasai Kota Mekah selama hampir 1,700 tahun sehingga abad pertama Masihi sehinggalah mereka diperangi dan diusir oleh Bani Bakr Bin Abdi Manaf Bin Kinanah dan Bani Khuza’ah kerana Bani Jurhum itu telah berlaku zalimi terhadap orang orang yang datang ke Kota Mekah.
Sebelum Bani Jurhum diusir keluar daripada Kota Mekah, mereka sempat menimbus Telaga Air Zam-Zam tersebut sehingga tidak dapat dikesan lagi kedudukannya oleh Bani Khuza'ah tersebut.
Pemerintahan Kota Mekah diambil alih Bani Khuza'ah pada abad pertama Masihi selama hampir 300 tahun sehinggalah ia beralih kepada Qushay bin Kilab dan keluarganya dari Bani Quraisy pada pertengahan abad ke-5.
Adapun telaga zam zam itu tertimbus cukup lama hampir 400 tahun, tidaklah diketahui orang beberapa lama sehinggalah datuk kepada Baginda Rasulullah, Abdul Mutalib bermimpi kedudukan telaga itu.
"Di mana letaknya telaga itu?" tanya Abdul Mutalib di dalam mimpinya.
"Ada busut berdekatan kaabah dan burung gagak mematuk tanahnya".
Sedar daripada mimpi Abdul Mutalib dengan anaknya Al-Harith mencari petunjuk daripada mimpi dia itu. Maka terjumpalah busut dan ada burung gagak mematuk matuk tanah. Maka digalinya tanah itu sehingga berjumpalah batu bata lama binaan telaga zam zam itu.
Digalinya lagi sehingga berjumpalah telaga zam zam yang hilang itu.
Peristiwa penemuan Telaga Zam Zam ini adalah sebelum kelahiran Nabi Muhammad dan sebelum serangan Tentera Bergajah Abrahah pada tahun 570M.
Jika diambil kelahiran Abu Mutalid pada 480M, besar kemungkinan penemuan semula Telaga Zam-Zam itu di antara tahun 510M-570M dan ini disandarkan ketika Baginda Rasulullah dibelah dadanya dan dicuci dengan air zam-zam oleh Malaikat Jibril ketika berumur 4 tahun pada tahun 574M.
Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
فَنَزَلَ جِبْرِيْلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَفَرَّجَ صَدْرِيْ، ثُمَّ غَسَلَهُ بِمَاءٍ زَمْزَمَ
Maksudnya: “Maka Jibril AS turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zamzam”.
[Riwayat al-Bukhari (1636)]
Kaitan Telaga Zam-Zam dengan Tamadun Sg.Batu ialah ada diriwayatkan bahawa ketika datuk Baginda Nabi mengali Telaga Zam-Zam dikatakan ada juga khazanah lain seperti bilah pedang yang dipanggil Pedang Qalai yang ditimbus oleh Bani Jurhum di antara tahun 100M itu ketika diserang oleh Bani Khuza'ah.
Pedang Qalai itu jika berdasarkan perkataan Qala’a iaitu Kedah Tua yang disebut oleh Al-Idrisi, dalam al-Rujjar (Nuzhat al-mushtāq fi’khtirāq al-āfāq) dan Abu Dulaf, pengembara!daripada Bukhara dalam catatannya Majmu’ fil-jughrafiyya tahun 940 Masehi.
"Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang “qala’I” iaitu pedang Hindi yang tulen…”
(Abu Dulaf 940 Masehi)
Di antara pedang Nabi Muhammad juga ada sebilah pedang Qalai di mana ia adalah harta ghanimah dari Bani Qaynuqa.
Dalam kitabnya Kitab al-Jamahir fi ma`rifat al-jawahir, Al Biruni menyatakan Pedang Qalai adalah antara pedang tempaan yang terbaik kerana "Composition" dalam teknik peleburan besi-besi dari Qalah (Kedah Tua) terdapat komposisi ‘Sharbuqan’ iaitu besi yang keras.
Apa yang menjadi fokus tentang besi Qalai ialah teknik peleburan dan campurannya walaupun sumber besi itu adalah daripada sumber luar dan ini boleh dilihat pada teknik tempaan keris iaitu pada lipatan-lipatan besinya.
Berbalik kepada umur Tamadun Sg.Batu ialah 788SM (Sebelum Masihi) yang mana sezaman dengan zaman Nabi Yunus berdasarkan Carbon Dating terhadap tuyere (corong peniup relau) yang hampir 2 juta batang dijumpai. Namun begitu "establishment" sesebuah tamadun itu tentulah lebih awal daripada tarikh carbon dating tuyere yang dijumpai dan diyakini ia lebih awal iaitu sezaman dengan zaman Nabi Sulaiman antara tahun 900SM.
Pendapat bahawa Tanah Melayu ini sudah ada tamadunnya tersendiri berdasarkan pandangan Ptolemy memetakan bahawa tanah ini sebagai 'Golden Chersonese' yang digambarkan sebagai Semenanjung Emas pada tahun 150M.
Ini dikuatkan lagi oleh kenyataan John Smith seorang pengembara Inggeris (1600-1605) yang datang duduk di Patani duduk di bawah Ratu Hijau mengatakan bahawa kedatangan orang Eropah ke sini adalah kerana mereka percaya sebutan OPHIR di dalam kitab taurat itu adalah merujuk kepada bumi Melayu di mana
Ophir ialah nama keturunan Nabi Nuh yang berhijrah ke sebelah timur iaitu Ophir bin Joktan (Qahthan) bin Eber (Abir) bin Syalikh bin Arfakhsyadz bin Sam bin Nuh a.s. dan disebutkan di dalam Book of Genesis 10 juga menerangkan bahawa bumi ini terbahagi (benua berpisah) ketika Eber melahirkan anaknya Joktan dan Peleg.
Di dalam Taurat, Book of King 10:22 itulah menerangkan hadiah-hadiah yang dipersembahkan oleh Raja Hiram kerajaan Tyre kepada Nabi Sulaiman mengambarkan diambil daripada Ophir.
"Setiap tiga tahun, kapal daripada
Ophir membawa emas dan perak,
kayu cendana, gading, mutiara,
monyet dan burung merak."
Bukti arkeologi perihal emas daripada Ophir ialah berdasarkan penemuan serpihan tembikai tertulis mengenainya di Tel Qasile berdekatan Jaffa di Israel.
"Gold of Ophir to Beth-Horon 30 shekels"
Jika bukti arkeologi yang dijumpai sekarang ialah 788SM, manakala zaman Nabi Sulaiman ialah 900SM dalam jarak 120 tahun maka memang besar kemungkinan tamadun Sg.Batu itu sudah ada sezaman dengan zaman Nabi Sulaiman yang mengelarkan Semenanjung Tanah Melayu sebagai OPHIR tempat duduk asalnya keturunan Nabi Nuh, Ophir bin Joktan di mana di zaman Joktan itulah bumi ini terpisah oleh lautan kerana kenaikkan paras laut.
Mungkin benar di dalam perut bumi di Sungai Batu itu masih ada khazanah yang tua yang belum dijumpai yang boleh membuktikan kewujudan tamadun tua bangsa Melayu yang berasal daripada jalur Ophir bin Joktan itu.
Yang lebih menarik Bani Jurhum dan Ophir pula adalah satu jalur, anak kepada Joktan (Qahthan) daripada keturunan Nuh a.s dan hidup sezaman.
Jika dilihat dengan jarak tahun Al Idrisi dan Abu Dhulaf menyebut tentang kehebatan besi tempaan Qalai antara 940M-1200M ia seolah ada kaitan dengan kehilangan teknik tempaan pedang Damacus yang ada pada pedang Salahuddin Al-Ayubi (1137-1194) dan jika disandarkan pada sebutan Negarakertagama pada tahun 1360M, tidak disebut lagi seolah-olah Tamadun Sungai Batu sudah lenyap bersamaan jatuhnya kerajaan Sriwijaya kepada Chola pada 1025M.
Di dalam Negarakertama pada pupuh 14 cuma menyebut di Kedah ada dua kerajaan iaitu Kedah dan Jerai sebagai kerajaan mungkin pecahan daripada Tamadun Sungai Batu.
"Di Hujung Medini Pahang yang disebut paling dahulu, Berikut Langkasuka, Saimwang (Saiburi), Kelantan serta Trengganu, Johor, Paka, Muar, Dungun, Tumasik, Kelang serta Kedah, Jerai, Kanjapiniran, semua sudah lama terhimpun."
Catat Ulasan