Tenggelamnya Kapal HMS Prince Of Wales Dan HMS Repulse


Petang, 8 Disember 1941, angkatan Force Z telah berlayar dari Singapura menuju ke utara bagi memburu konvoi yang membawa askar Jepun dari Indochina ke Malaya. Force Z terdiri daripada kapal perang (battleship) HMS Prince of Wales, battlecruiser HMS Repulse dan 4 kapal pemusnah iaitu Electra, Express, Vampire dan Tenedos. HMS Prince of Wales merupakan kapal paling moden yang dimiliki Royal Navy dan telah siap dibina pada 31 Mac 1941.



Force Z diketuai oleh Admiral Sir Tom Spencer Vaughan Philips RN (Commander-in-Chief Eastern Fleet). Admiral Philips berharap armadanya dapat memusnahkan armada kapal pengangkut Jepun secara mengejut. Malang sekali, pada 9 Disember jam 1340, kapal selam I-65 Jepun telah mengesan kedudukan armada ini. Koordinat Force Z telah dihantar ke markas tentera udara Jepun yang berpengkalan di Saigon. Force Z berlayar tanpa sebarang perlindungan udara kerana pesawat-pesawat Royal Air Force terlalu usang untuk memberikan bantuan efektif.


10 Disember 1941, armada Force Z berpatah balik ke Singapura kerana gagal mengesan konvoi Jepun. Namun Force Z mendapat maklumat Jepun telah mendarat di Kuantan, jadi mereka menuju kesana untuk siasat. Jam 2.11 pagi semasa pelayaran ini, sekali lagi kapal selam Jepun mengesan pergerakan mereka. Pukul 8 pagi, tibalah armada ini di perairan Kuantan, dan mereka dapati maklumat pendaratan Jepun di Kuantan hanyalah helah Jepun.


Pukul 11 pagi, mereka telah diserang oleh 88 pesawat Jepun dari Saigon yang terdiri daripada 34 pesawat torpedo, 53 pesawat pengebom dan 1 pesawat peninjau. Kebanyakan serangan Jepun ini berjaya dielak tetapi 8 buah torpedo telah mengenai Repulse dan Prince of Wales. Repulse ditenggelamkan pada jam 1233 manakala Prince of Wales pada jam 1320. Kapal-kapal yang berdekatan telah membantu dalam proses pemindahan anak-anak kapal dari kapal yang sedang karam.



840 kelasi kapal telah maut dalam serangan ini; 513 adalah dari Repulse dan 327 dari Prince of Wales. Admiral Philips tenggelam bersama kapalnya HMS Prince of Wales, manakala pegawai memerintah HMS Repulse, Captain William Tennant Berjaya diselamatkan oleh kapal Vampire. Pihak Jepun hanya kehilangan 3 buah pesawat dan 18 tentera terkorban. Pada keesokan harinya, 11 Disember 1941, sebuah pesawat Jepun membuat terbang lintas di kawasan Prince of Wales dan Repulse tenggelam sambil menabur bunga sebagai tanda simpati kepada anak-anak kapal Royal Navy dan pemandu-pemandu pesawat Jepun yang terkorban.


0/komen