BATON ROUGE, LOUISIANA – Sepasang suami isteri di Amerika Syarikat bergelar ‘bilionair’ seketika selepas wang berjumlah AS$50 bilion (RM208 bilion) secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam akaun bank milik mereka.
Darren James yang diberitahu isterinya mengenai perkara itu, terkejut melihat jumlah wang yang tertera dalam akaun bank milik mereka.
“Ia amat mengejutkan kerana saya tidak pernah melihat jumlah wang sebanyak itu sepanjang hidup saya.
“Sebaik melihatnya, saya tidak terfikir untuk menyimpannya. Namun, perkara yang menjadi tanda tanya adalah dari mana wang itu datang dan kami tidak mengenali sesiapa pun yang mempunyai wang sebanyak itu,” kata James.
Lelaki itu seterusnya menghubungi pihak bank dan melaporkan mengenai kesilapan tersebut.
Bank berkenaan kemudiannya memproses kesilapan teknikal itu, namun tidak mendedahkan punca dan sebab wang tersebut didepositkan ke dalam akaun James.
Sebagai tanda kenang-kenangan, James dan isterinya merakam gambar paparan skrin akaun banknya sebelum kesilapan itu diperbetulkan oleh pihak bank yang mengambil masa selama empat hari.
Pemegang akaun bank yang menerima wang yang tersilap didepositkan ke dalam akaun mereka adalah dilarang membelanjakan wang tersebut.
Dalam kes seperti itu, kebiasaannya pihak bank dapat mengenal pasti kesilapan yang berlaku dan memperbetulkan transaksi.
Individu yang didapati membelanjakan wang tersebut berdepan dengan pertuduhan jenayah kerana mencuri harta benda yang hilang secara tidak sengaja
Catat Ulasan