Anak Penyu Berkepala Dua Ditemui


Anak penyu berkepala dua berlaku disebabkan oleh mutasi genetik.

PANTAI EDISTO, CAROLINA SELATAN – Beberapa pekerja sebuah pusat penetasan penyu di negeri Carolina Selatan, Amerika Syarikat terkejut apabila menjumpai seekor anak penyu berkepala dua yang baru menetas.

Taman Negeri Carolina Selatan berkata, anak penyu baru menetas itu dijumpai anggota Peronda Penyu Laut Taman Negeri Pantai Edisto yang sedang melakukan rutin inventori sarang penyu.

Selepas tiga ke lima hari sarang penyu menunjukkan petanda-petanda berlakunya banyak penetasan telur, anggota peronda berkenaan  pergi memeriksa untuk mengira bilangan telur yang menetas dan tidak menetas.

Ketika rutin tersebut, pasukan peronda turut menjumpai tiga ekor anak penyu yang masih berada di dalam sarangnya, namun apa yang mengejutkan adalah satu daripadanya mempunyai dua kepala.

Tambah pusat penetasan tersebut, keadaan seumpama itu berlaku disebabkan oleh mutasi genetik.

Beberapa ekor anak penyu berkepala dua pernah ditemui di Carolina Selatan dalam tempoh beberapa tahun ini, namun ini merupakan kali pertama kejadian itu berlaku di Pantai Edisto.

Ketiga-tiga anak penyu itu kemudiannya dilepaskan ke laut.

0/komen