Cooler Master Memperkenalkan Siri Rangka Komputer Baru


Bagi yang berminat untuk membangunkan sebuah komputer desktop dengan rekaan yang kecil ataupun besar, dengan penyejukan cecair ataupun udara, Cooler Master kini telah memperkenalkan sejumlah rangka komputer yang membolehkan mereka membina komputer idaman masing masing.

Bermula dengan siri Cooler Master N200P, siri rangka komputer ini terdiri daripada N200P Max, yang merupakan model pertama dalam siri rangka Max mereka, yang mana ia adalah sebuah rangka komputer mini ITX yang hadir dengan sistem penyejukan cecair dan juga bekalan kuasa bersaiz SFF (small form factor) yang dibina khusus untuk rangka ini.

Walaupun rangka komputer ini hadir dengan rekaan kecil, rekaannya menjanjikan bahawa anda masih boleh memuatkan sebuah kad grafik bersaiz penuh kedalam komputer ini menggunakan penyesuai kabel PCIe, dan boleh memuatkan beberapa kipas penyejuk tambahan untuk menyejukkan komponen-komponen dalam komputer ini.

Bagi mereka yang  mahukan sebuah rangka kecil yang mempunyai rekaan warna yang lebih ranggi, Cooler Master N200P Color mungkin sesuai untuknya. Ia adalah rangka N200P yang sama seperti model sebelum ini, cuma berbanding dengan model Max, ia tidak hadir dengan sistem penyejuk dan bekalan kuasa terbina.
Keunikan rangka PC ini hadir melalui pilihan warna yang ditawarkan Cooler Master. Ia termasuklah Flamingo Pink, Caribbean Blue, Sunset Orange dan Nightshade Purple.

Beralih kepada Cooler Master TD300 Mesh, rangka komputer ini adalah untuk anda yang mahu membina sebuah komputer bersaiz micro-ATX yang merupakan model lebih kecil daripada TD500 yang dilancarkan sebelum ini.
Ia juga mempunyai rekaan berkontur yang baru, dan hadir dengan sejumlah kipas penyejuk yang boleh mengalirkan udara kedalam komputer untuk membantu dengan penyejukan komponen-komponen , dan juga mengalirkan haba keluar daripada rangka komputer mereka.
Sama seperti banyak komputer-komputer moden, ia juga hadir dengan panel tepi yang diperbuat daripada gelas terbaja (tempered glass) yang membolehkan mereka melihat binaan dalaman komputer nya  dengan jelas.

Jika sebuah komputer yang lebih besar suatu keinginan masing masing, mereka boleh memilih untuk mendapatkan Masterbox 500. Ia boleh memuatkan papan induk bersaiz sehingga E-ATX, dan hadir dengan ruangan luas untuk pelbagai jenis sistem penyejuk, dan lebih menarik lagi, rangka ini boleh dibuka tanpa perlu menggunakan sebarang peralatan seperti pemutar skru, menjadikannya sangat mudah untuk digunakan.
Tidak kira jikamereka mahu membangunkan sebuah komputer yang menggunakan sistem penyejukan cecair khusus, ataupun penyejuk udara gergasi, rangka ini mempunyai ruang untuk pelbagai jenis binaan yang menarik bergantung kepada keperluan dan kemampuan anda.
Siri High Air Flow, ataupun Cooler Master HAF juga hadir secara mengejut, yang mana Cooler Master memperkenalkan model HAF 500 baru. Di bahagian depan, ia dilengkapi dengan dua kipas 200mm yang gergasi, sebuah kipas khusus untuk bahagian kad grafik dan sokongan untuk memasang radiator bersaiz 360mm di bahagian atas ataupun depan tanpa sebarang masalah.

Panel tepi dan atas rangka komputer HAF 500 ini juga boleh dibuka tanpa perlu menggunakan sebarang peralatan, dan ini memudahkan pengguna untuk mengubahsuai dan memasang komponen-komponen dalaman seperti radiator dengan lebih mudah.

Cooler Master juga mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan rekaan Cooler Master HAF-X yang baru pada tahun hadapan.

Menurut Cooler Master Malaysia, kesemua rangka-rangka komputer ini akan ditawarkan di Malaysia, dan akan dijual pada tanda-tanda harga berikut:

Cooler Master N200P MAX – RM1499
Cooler Master N200P Color – RM439
Cooler Master TD300 – RM299
Cooler Master Masterbox 500 – RM349
Cooler Master HAF 500 – RM499

0/komen