Ladang Solar Terapung Terbesar Asia Tenggara Kini Beroperasi


Ladang solar terapung terbesar di Asia Tenggara mula beroperasi di Singapura. Ia terletak di kolam takungan air Tengeh dengan keluasan 45 padang bola sepak dan membekalkan kuasa kepada operasi kolam-kolam takungan air di Singapura dengan janaan kuasa puncak 60 MWp.

Sebanyak 122,000 panel solar digunakan pada ladang solar dengan keluasan 45 hektar ini. Ia mampu mengurangkan pengeluaran 32 tan karbon dioksida setahun atau 7000 kereta setahun. Operasi ladang solar diuruskan oleh Sembcorp Industries dengan bantuan Lembaga Kemudahan Awam Singapura (PUB).


Pembinaan ladang solar di atas permukaan air mempunyai beberapa kelebihan. Pertama sekali ia tidak mengambil kawasan tanah yang diperlukan untuk tujuan lain. Bagi negara kecil seperti Singapura, setiap inci tanah adalah diperlukan. Keduanya ialah air dari tempat takungan air menyejukkan panel dan meningkatkan prestasi elektrik dijana sehingga 15%. Fasiliti turut akan dipantau menggunakan dron yang boleh mengurangkan kos operasi sehingga 30% berbanding menggunakan pekerja manusia.

Sebanyak empat lagi ladang solar terapung akan dibina di Singapura sebagai langkah meningkatkan penjanaan tenaga secara lestari sebanyak empat kali ganda menjelang 2025. Sebelum ini ladang solar terapung dibina di Selat Tebrau berhampiran Woodlands.
 

0/komen