Xiaomi Malaysia telah melancarkan Poco X3 GT secara rasmi. Peranti ini boleh dikatakan adalah pembunuh peranti mercu era baharu, kerana banyak ciri dan fungsi sesebuah peranti mercu yang mahal dipadatkan dalam pakej berkali ganda lebih murah.
Peranti ini menggunakan skrin IPS LCD DotDisplay bersaiz 6.6-inci beresolusi FHD+ dengan sokongan kadar segar semula adaptif 120Hz yang boleh berubah serendah 30Hz. Untuk menjamin pengalaman sentuhan yang lebih lancar, kadar sentuhan skrin adalah 240Hz. Ia juga menyokong paparan HDR10 dan dilindungi dengan kaca Gorilla Glass Victus.
Ia dijana dengan Dimensity 1100 berasaskan 6nm yang dipadankan dengan memori 8GB RAM bersama-sama storan dalaman UFS 3.1 mencapai 256GB. Disebabkan ia menjalankan MIUI 12.5 for Poco yang terkini dan merupakan Redmi Note 10 Pro 5G yang dilabel semula – peranti ini turut menyokong penambahan 2GB RAM maya untuk menjadikan jumlah memori 10GB. Memastikan peranti tidak bermasalah dan sentiasa lancar ketika bermain permua – sistem penyejukan yang lebih baik disertakan.
Kamera adalah 64+8+2 Megapixel gabungan sensor utama, sudut ultra lebar dan makro. Manakala kamera swafoto pula adalah 16 Megapixel. Peranti ini turut hadir dengan Bluetooth 5.2, NFC, WiFi 6, pengimbas cap jari di sisi, dan juga pembesar suara stereo dengan sokongan Hi-Res Audio, Hi-Res Wireless Audio serta Dolby Atmos. Peranti ini juga adalah pertama untuk Poco dalam siri X yang menyokong 5G.
Untuk bateri, kapasiti 5000mAh dimuatkan dengan sokongan pengecasan pantas 67W. Peranti ini menggunakan bahan binaan yang lebih kukuh dan premium, berbandig peranti Poco siri X lain dan juga mempunyai pilihan warna Stargaze Black, Wave Blue atau Cloud White. Harga jualan rasmi di Malaysia adalah RM1,299 untuk 8/128 GB dan RM1,599 untuk 8/256 GB.
Sempena pelancaran peranti ini, bermula 3-4 Ogos Poco X3 GT akan dijual pada harga RM1,199 dan RM1,399 untuk 8/128 dan 8/256 GB. Bagi mereka yang memilih variasi 256GB, hadiah RM169 turut akan diberikan.
Catat Ulasan