Sultan Ali Shah : Daripada Sultan Menjadi Pemandu Teksi




Perubahan yang diperkenalkan British benar-benar memberikan impak besar,
sama ada dari sudut positif dan juga negatif kepada masyarakat kita.
Beberapa insiden berlaku ketika British cuba memperkenalkan gagasan
Malayan Union kepada rakyat Tanah Melayu dulu, menimbulkan banyak
kontroversi menyebabkan British mengguna langkah keras bagi memastikan
kejayaan rancangan mereka.

Salah satu kisah kontroversi yang berlaku ekoran usaha Malayan Union,
melibatkan Sultan Terengganu ke 14, Sultan Ali Shah Ibni Sultan Sultan
Sulaiman Badrul Alam Shah.

Penentangan beliau terhadap gagasan yang cuba diperkenalkan British
menyebabkan perubahan besar dalam hidup beliau, mengubah susur galur
kesultanan kerajaan Terengganu; sehingga wujudnya sengketa berterusan ke
hari ini.



Perjanjian Bangkok 1909 di antara kerajaan Siam dan kerajaan British
mengakibatkan kerajaan Terengganu yang ketika itu berada di bawah naungan
kerajaan Siam, diserahkan kepada British tanpa persetujuan Terengganu.Terengganu ketika itu dipimpin Sultan Zainal Abidin ke 3 tiada pilihan lain selain menuruti isi perjanjian tersebut.


Terengganu mula menjadi negeri di bawah naungan British pada 22 April
1910.

Bagi melindungi kedaulatan agama dan negeri, Sultan Zainal Abidin ke 3
memperkenalkan Undang-Undang Diri pada tahun 1911 sebagai usaha
mengekalkan identiti Terengganu daripada kerakusan British.
Kemangkatan Sultan Zainal Abidin ke 3 menabalkan Tengku Muhammad Syah
sebagai pengganti baginda.

Tengku Muhammad Syah enggan bekerjasama dengan British walaupun
bersetuju menerima seorang penasihat British dalam kerajaan Terengganu.
Atas sebab ini, British mula mendesak supaya Sultan Muhammad Syah
melepaskan takhta untuk diserahkan kepada adiknya, Tengku Sulaiman Badrul
Alam Shah.

Desakan itu berhasil.

Baginda menaiki takhta dengan menggunakan gelaran Sultan Sultan Sulaiman
Badrul Alam Shah, memerintah dalam tempoh yang panjang, bermula pada 20
Mei 1920 sehinggalah tibanya penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu.

Pada 29 Januari 1942, kerajaan Terengganu ketika itu yang dinaungi Jepun
melalui prntadbiran Gabenor Manabu Kuji, bersetuju untuk melantik waris
kepada Sultan Sulaiman naik menggantikan baginda.

Anak sulung beliau, Tengku Ali dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Muda, bakal
mengambil alih tampuk kerajaan Terengganu daripada ayahnya.

Kemangkatan Sultan Sulaiman pada 25 September 1942 mempercepatkan
kenaikan Tengku Ali.

Tengku Ali menaiki takhta pada 26 September 1942 dan pentadbiran Jepun
mengiktiraf status Tengku Ali pada 30 September 1942, menggunakan gelaran
penuh Sultan Ali Shah ibni al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Kenaikan Sultan Ali Shah mendapat tentangan beberapa orang pembesar
Terengganu atas alasan kurang diyakini keupayaannya khasnya oleh seorang
pembesar bernama Dato Jaya Perkasa Che Umar.

Tekanan yang diberikan Dato Jaya Perkasa bagaimanapun tidak berjaya
menjatuhkan Sultan Ali Shah.

Sehinggalah perjanjian tahun 1943 di antara Jepun dengan kerajaan Siam yang
mengembalikan semula Terengganu menjadi wilayah Thai, menyebabkan
perubahan besar pada sistem kerajaan Terengganu.

Jawatan Menteri Besar yang dihapuskan semasa era Jepun diwujudkan kembali
dan Dato Jaya Perkasa Che Umar naik menjadi menteri besar, diikuti
perlantikan menteri-menteri dilakukan dengan kebenaran Siam dan Jepun.

Walaupun begitu, rasa tidak senang Dato Jaya Perkasa kepada Sultan Ali nyata
belum berakhir.



Selepas tentera Jepun tewas dalam kempen penjajahan mereka, British
kembali ke Tanah Melayu seterusnya menyebabkan Terengganu kembali
semula sebagai naungan British.

Kerajaan Thai berjaya didesak untuk melepaskan penguasaan mereka ke atas
negeri tersebut, berdasarkan kepada perjanjian 1909 yang dipersetujui.

Untuk mengukuhkan kuasa mereka di Tanah Melayu, British berhasrat mahu
menyatukan sistem pentadbiran mereka dengan mengendurkan terus kuasa
Raja-Raja Melayu.

Bagi memenuhi hasrat itu, British mula menyelongkar kembali status
kerjasama semua Raja Melayu dengan Jepun, untuk dijadikan alasan
penyingkiran mereka bagi membolehkan 'Raja Melayu baru mesra British'
dilantik.

Beberapa orang Raja Melayu ketika itu yang didapati bekerjasama dengan
Jepun atau dilantik oleh Jepun, didakwa sehingga ada yang dibuang negeri.

Disebabkan menaiki takhta semasa zaman pemerintahan Jepun, Sultan Ali
tidak terkecuali menjadi sasaran British.

Dato Jaya Perkasa didakwa memainkan peranan yang sangat besar dalam
menjatuhkan Sultan Ali Shah.

Beberapa dakwaan seperti Sultan Ali akrab dengan pemerintahan Jepun, tidak
layak memerintah serta mengahwini seorang pelacur sebagai isteri mula
disebarkan sumber-sumber tidak diketahui.

Selain itu, dakwaan bahasa Sultan Ali Shah mempunyai masalah berhutang
akibat kalah judi hingga menyebabkan dia menggadaikan tanah kepada tauke
Cina, turut menjadi perhatian British.

Atas semua dakwaan itu, British bertindak mengarahkan Sultan Ali Shah
bertemu wakil British, Brigadier H.C. Willan.

Willan mengumumkan kepada Sultan Ali Shah sambil disaksikan Dato Jaya
Perkasa, bahawa British telah mengambil keputusan tidak mengiktiraf
kedudukan baginda sebagai Sultan dan pendapatannya akan dikurangkan
walaupun akan terus dibayar.

Terkejut dengan apa yang berlaku, Sultan Ali Shah kembali ke istana baginda
tanpa kuasa, mengetahui nasibnya yang bakal digantikan dengan Sultan pilihan
British.


Pemecatan Sultan Ali Shah memerlukan pengganti, dengan Tengku Ismail,
salah seorang anak kepada Sultan Zainal Abidin ke 3 menjadi nama yang
disebut bakal naik sebagai Sultan Terengganu yang baru.

Pada 16 Disember 1945, pengisytiharan penurunan Sultan Ali Shah digantikan
dengan Tengku Ismail dilakukan, namun British belum berpuas hati.
Kedudukan Tengku Ismail atau nama rasminya Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
belum cukup kukuh kerana masih belum mendapat pengiktirafan British.
Bagi melindungi kepentingan mereka, British melalui wakil mereka A.T.
Newboult mendesak Sultan Ismail menandatangani persetujuan gagasan
Malayan Union.

Bagaimanapun, nasib baiklah Undang-Undang Diri yang telah diperkenalkan
ayahnya sebelum mangkat menyebut Sultan tidak mempunyai kuasa penuh
menyerahkan pemerintahan kepada kuasa luar.

Sekiranya Baginda bersetuju, ini bermakna Sultan Ismail sendiri telah
melanggar undang-undang negeri Terengganu.

Malangnya atas desakan kuat pihak British yang tidak mengiktiraf Undang-
Undang Diri serta tekanan daripada Dato Jaya Perkasa yang banyak terhutang
budi dengan British, Sultan Ismail terpaksa menandatangani persetujuan.
Seronok British ketika itu sehingga menerbitkan artikel pengumuman Sultan
Ismail kini secara rasminya diiktiraf sebagai Sultan Terengganu oleh British.

Walaupun bersetuju selepas dipaksa, melihat kebangkitan orang Melayu yang
bersatu menentang Malayan Union - Sultan Ismail Nasiruddin akhirnya menjadi
penentang gagasan tersebut.

Selepas 4 bulan ditabalkan, baginda bertindak menghantarkan surat menggesa
agar British mengkaji semula rancangan tersebut bimbang kesan buruk yang
bakal timbul.



Sudah dijatuhkan, banyak pihak berpendapat apa yang berlaku terhadap Sultan
Ali Shah merupakan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang
kerajaan Terengganu sendiri.

Ini kerana Sultan Ali Shah secara rasmi dan tidak boleh disangkal lagi,
merupakan waris paling layak menerajui Kesultanan Terengganu.

Dalam kenyataannya, Sultan Ali Shah menyifatkan apa yang dilakukan oleh
British merupakan satu konspirasi bagi menjayakan rancangan Malayan Union
dengan Dato Jaya Perkasa, dikatakan menjadi dalang utama semua yang
berlaku.

Pelbagai rayuan yang dibuat untuk mengkaji semula pemecatan baginda yang
dilakukan tanpa asas, tidak diendahkan British.
Baginda yang ketika itu tidak lagi mendapat sokongan pembesar negeri mula
menerima hakikat tidak banyak yang boleh baginda lakukan dalam
mengembalikan sokongan kepada baginda.


Sultan Ali Shah tidak pernah berhenti daripada mengemukakan tuntutan ke
atas takhta kerajaan Terengganu sehinggalah baginda mangkat pada 17 Mei
1996. Sepanjang hayatnya baginda menyara hidup dan keluarganya dengan
bekerja sebagai pemandu kereta sewa dan juga pengusaha wayang bergerak di
sekitar negeri Terengganu.

Kes tuntutan takhta oleh waris kepada Sultan Ali Shah masih lagi berlangsung
sehingga ke hari ini, dengan Tengku Sulaiman yang merupakan cucu kepada
Sultan Ali Shah telah memfailkan tuntutan di peringkat mahkamah,
berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu tahun 1911.

Sudah beberapa kali tuntutan beliau ditolak mahkamah dengan pengumuman
terbaru melibatkan tuntutan ini, dilaporkan pada 31 Julai 2017 - selepas
permohonan beliau mahu memindahkan perbicaraan ke mahkamah tinggi
Kuala Terengganu ditolak panel hakim Mahkamah Rayuan.

0/komen