Tupai King Kalahkan Musang King.& Durian Hitam


DURIAN Tupai 226 telah didaftarkan secara rasmi 


Pulau Pinang melahirkan varieti baharu durian selepas nama Tupai 226 didaftarkan secara rasmi pada Februari lalu yang bakal mencabar populariti Musang King.

Varieti yang lebih popular de­ngan nama durian Tupai King itu dijangka menjadi tarikan terkini dalam kumpulan durian popular seperti Raja Kunyit atau dikenali sebagai Musang King dan Duri Hitam kerana rasanya yang unik.

Varieti dengan nombor pendaftaran D214 itu diperakui secara rasmi oleh Ketua Pengarah Pertanian pada 26 Februari lalu.

Pendaftaran tersebut dibuat oleh seorang pengusaha kebun durian di Su­ngai Ara, Bayan Lepas dekat sini pada Mei tahun lalu.

Setakat ini, dusun pengusaha berkenaan mempunyai 46 pokok dan peminat durian boleh mula merasa durian Tupai 226 yang telah rasmi itu ketika musim durian bermula  hujung bulan Jun dan Julai ini .

Namun, kuantiti penge­lu­arannya terhad ketika ini kerana masih belum banyak pokok.


MUSANG King atau Raja Kunyit mempunyai isi berwarna kuning pekat

Durian Tupai King dengan kulit berwana hijau keperangan mempunyai ciri-ciri buah berbentuk ovat (bujur se­perti telur) dengan pangkal membulat dan hujung menajam.

Ia mempunyai purata berat 2.1 kilogram (kg) dengan purata sebanyak sembilan biji (ulas) bagi setiap buah dan purata berat isi 0.7 kg.

Isinya berwarna jingga keku­ningan dengan aroma, kepahitan, tekstur dan berkrim pada tahap sederhana selain tahap kema­nisan dengan bacaan purata brix 39.

Catatan juga menunjukkan pengeluaran hasil durian di negeri ini secara konsisten tiga tahun ke­belakangan ini iaitu 10,491 tan pada 2018, 13,158 tan (2019) dan 14,946 tan (2020).

Dengan pertambahan tanaman durian dan input pertanian daripada kerajaan seperti baja dan racun kawalan perosak, dijangkakan pengeluaran durian di Pulau Pinang tahun ini sama se­perti tahun lalu.

Harga bagi seki­logram durian Tupai 226 atau Tupai King dijangka mencecah anggaran RM100.

Individu yang mendaftarkan varieti itu, Chew Chee Wan, 53, berkata, durian itu dijangka memberi saingan kepada durian premium sedia ada iaitu Musang King dan Duri Hitam berdasarkan res­pons diberikan penggemarnya.

Tupai King sudah ada pe­langgan setia sejak 10 tahun lalu, dan rata-rata ‘hantu’ durian me­ngakui kombinasi rasa manis dan pahit yang tajam memberikan kenikmatan.

Selepas semakin komersial nanti, beliau jangka ia mampu berlawan dengan harga durian Duri Hitam yang ketika ini paling mahal di Malaysia, apatah lagi harga Tupai King semakin meningkat yang menjalankan perniagaan di Jalan Paya Terubong di Relau, Bayan Lepas.

Katanya, pada musim durian tahun lalu dia menjual Tupai King pada harga RM70 sekilogram, Musang King (RM60) dan Duri Hitam (RM100).

Beliau  jangka harga durian Tupai King tahun ini mencecah RM100 sekilogram.

Katanya, pengeluaran Tupai King dijangka berskala lebih besar dan komersial lima tahun lagi berikutan ramai pekebun durian dari seluruh negara telah mula menanam anak pokok durian itu sejak lebih lima tahun lalu.

Ketika ini, hanya beliau yang mengeluarkan durian Tupai King sejak kira-kira 10 tahun lalu dan tahun lalu menghasilkan 1,000 biji sahaja daripada 16 pokok yang sudah matang.

Beliau jangka lima tahun lagi, ia akan banyak seperti durian lain selepas pokok yang ditanam pekebun mula mengeluarkan hasil.


Black thorn atau duri hitam 

Terkini durian jenis Tupai 226 atau lebih dikenali sebagai tupai king  telah mengalahkan kehebatan durian premium jenis black thorn atau duri hitam apabila varieti baharu itu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan. Ramai peminat tegar durian duri hitam itu telah mula me­ngalihkan tumpuan mereka terhadap pembelian tupai king di sini ketika ini. Rata-rata penggemar durian ‘kayangan’ itu mula menyukai rasa lemak, manis dan pahit durian tupai king yang dijual pada harga kira-kira RM90 berbanding duri hitam RM100  sekilogram.

0/komen