Mahani Kenel (gambar kecil) dan suami, Mohammad Yusof (dalam bulatan) bersama tiga orang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kuala Krau pada 1948.
KISAH dua wanita yang juga isteri kepada anggota polis yang bertempur dengan komunis ketika serangan di Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 23 Februari 1950 terpahat dalam sanubari sehingga ke hari ini.
Keberanian mereka mengangkat senjata dan bertempur dengan pihak musuh selepas suami masing-masing terkorban cukup mengkagumkan dan menunjukkan bahawa lambang semangat juang seorang wanita bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga negara.
Igauan kekejaman pihak komunis menjadi sejarah besar negara apatah lagi dalam kejadian itu Balai Polis Bukit Kepong telah diserang segerombolan 180 orang komunis dalam tragedi pukul 5 pagi itu.
Sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur mempertahankan negara namun 19 anggota polis terkorban dalam kejadian itu.
Sebenarnya, tragedi Bukit Kepong bukan satu-satunya serangan terhadap balai polis yang dilakukan oleh pihak komunis sebaliknya kejadian serupa pernah menimpa Balai Polis Kuala Krau, Temerloh, Pahang pada tahun 1948 dan 1949.
Keberanian Mahani melawan musuh bukti semangat patriotik dalam dirinya.
Malah dalam insiden itu, seorang wanita, Mahani Konel yang juga isteri kepada Mata-Mata Mohamad Yusof yang bertugas di balai polis itu turut terkorban selepas tampil berani bersama-sama anggota lain melawan musuh.
Kisah keberanian Mahani mengangkat senapang rifle bersama suaminya untuk melawan komunis turut diceritakan oleh anak pasangan itu Osman Mohamad Yusof, 87, yang kini menetap di Johor Bahru, Johor.
"Masih segar dalam ingatan saya ketika kejadian bapa berpesan kepada ibu agar menggulung kami adik-beradik di dalam tilam agar percikan tembatan senjata api tidak terkena pada kami.
"Tidak mahu berdiam diri, ibu sendiri bersama-sama bapa mengangkat rifle dan menyerang komunis yang menyerang balai polis," katanya.
Imbau Osman anggota komunis yang terlibat dalam serangan itu adalah seramai 15 ke 25 orang manakala hanya empat anggota polis mempertahankan serangan pihak lawan.
Ibunya pula ketika itu sedang sarat mengandung tujuh bulan dan meskipun dalam keadaan berbadan dua masih segar dalam ingatan keberanian ibunya untuk membantu mempertahankan negara.
"Mungkin ramai tidak mengetahui kisah kejadian di Balai Polis Kuala Krau namun jasa ibu dan bapa, saya anggap sebagai wira dan srikandi dalam mempertahankan negara," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, dalam serangan itu, ibunya tewas selepas terkena tembakan pihak musuh pada bahagian dada ketika keluar dari rumah untuk pergi mendapatkan bapanya yang berada di balai polis.
"Saya masih ingat melihat ibu rebah dan saya berlari mendapatkannya dan memeluk ibu dalam keadaan dadanya dipenuhi darah.
Ilustrasi Balai Polis Kuala Krau, Pahang.
"Ia memori yang tidak pernah saya lupakan sehingga ke akhir hayat saya," imbaunya.
Kajian bertajuk 'Kajian Pendokumentasian Peristiwa Serangan Balai Polis Kuala Krau' itu adalah antara kisah duka perjuangan wira negara yang tidak boleh dipinggirkan dan menjadi kisah tragik pengorbanan wira negara.
Kisah dan kajian serangan Balai Polis Kuala Krau yang berlaku pada 26 Jun 1948 dan 11 September 1949 itu turut diterbitkan dalam bentuk buku yang bertajuk Naratif Peristiwa Kuala Krau 1948-1949.
Dalam kajian itu, dari tahun 1948 hingga 1952 banyak berlaku serangan ke atas balai polis daripada pihak komunis yang menguji kekuatan anggotanya dalam usaha mengalahkan kolonial British mencapai matlamatnya ketika itu.
Peristiwa itu adalah sejarah polis Pahang kerana ia melibatkan serangan pengganas komunis yang besar dan mengorbankan banyak nyawa.
Daripada peristiwa ini juga masyarakat dapat melihat dan memahami tugas kepolisan yang perlu berdepan dengan kematian tatkala berlaku serangan pihak musuh.
Kekejaman terhadap rakyat oleh komunis sukar dilupakan dan setiap kali sambutan kemerdekaan tanah air, kita akan terbayang tentang derita yang dilalui pejuang-pejuang negara yang berkorban nyawa.
Catat Ulasan