Maut Terjatuh Dari Pesawat AS


Beberapa penghormatan terakhir ke atas kematian Zaki dilakukan oleh pengguna media sosial.

KABUL – Seorang pemain bola sepak Afghanistan, Zaki Anwari maut akibat terjatuh dari sebuah pesawat Amerika Syarikat (AS) ketika cuba berpaut pada badan pesawat untuk melarikan diri dari negara itu.

Zaki bermain untuk pasukan remaja kebangsaan Afghanistan.

Direktorat Am Pendidikan Jasmani dan Sukan Afghanistan mengesahkan kematian pemain remaja tersebut dalam insiden kekecohan yang berlaku di lapangan terbang Kabul minggu ini.

Zaki, sama seperti remaja-remaja Afghanistan yang lain, mahu meninggalkan negara itu namun terjatuh ketika cuba berpaut pada pesawat AS dan meninggal dunia,menurut satu hantaran di Facebook.

Beribu-ribu rakyat Afghanistan menyerbu Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai minggu ini dalam usaha untuk keluar dari negara itu selepas Kabul ditawan oleh tentera Taliban.

Keadaan itu menyebabkan ratusan orang terdesak untuk menaiki pesawat tentera AS sehingga ada antara mereka yang memanjat dan berpaut pada badan serta sayap pesawat.

Beberapa cebisan mayat kemudiannya dijumpai melekat pada roda pesawat C-17 selain ada yang terjatuh di sekitar landasan.
 

0/komen