Nekad Tumbuk Singa Gunung


CALABASAS, CALIFORNIA – Seorang ibu di  negeri California nekad bertarung dengan seekor singa gunung selepas binatang buas itu menyerang anaknya di luar rumah mereka.

Dalam kejadian tersebut, seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun sedang bermain di luar rumah apabila singa gunung  seberat 29 kilogram itu tiba-tiba muncul lalu menerkam dan mengheret mangsa  sejauh sekitar 41 meter.

Wira sebenar dalam kejadian ini adalah ibunya kerana dia benar-benar nekad untuk  menyelamatkan nyawa anaknya.

Sebaik terdengar bunyi bising di luar rumah, wanita tersebut terus berlari keluar dan menumbuk serta menyerang singa gunung itu menggunakan tangannya.

Singa itu kemudiannya melepaskan anaknya menurut kata jurucakap Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California, Patrick Foy.

Kanak-kanak berkenaan kemudian dibawa ke sebuah hospital dan mengalami kecederaan pada kepala dan bahagian atas badan, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Susulan kejadian itu, seorang pegawai hidupan liar dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memburu singa gunung tersebut. 

Sebaik tiba di rumah mangsa, renjer tersebut menemui seekor singa gunung sedang berkeliaran di kawasan semak-samun.

Disebabkan sikapnya dan jaraknya dengan lokasi serangan, pegawai nya  percaya ia adalah singa sama yang menyerang kanak-kanak terbabit.

Bagi menjaga keselamatan awam, haiwan itu ditembak dan mati di kawasan tersebut ,  ujar Foy.
 

0/komen