Pawagam Altitud Paling Tinggi Di Dunia


LEH, LADAKH – Sebuah pawagam di India digelar ‘pawagam altitud paling tinggi di dunia’ kerana didirikan di sebuah kawasan setinggi 3,524 meter dari paras laut dekat bandar Leh dalam wilayah Ladakh.

Kemudahan pawagam bergerak yang boleh memuatkan  sehingga 120 orang penonton itu terletak berhampiran sempadan Tibet yang dikawal pemerintah China serta jauh dari kemudahan pawagam utama yang lain.

Syarikat swasta yang mendirikan pawagam itu, PictureTime Digiplex menyatakan, inisiatif tersebut merupakan usaha untuk membawa pengalaman menonton filem ke kawasan-kawasan pedalaman di wilayah tersebut.

Ia merupakan pawagam digital mudah alih pertama di dunia yang dibangunkan untuk menayangkan filem-filem baharu menurut kata  pemilik PictureTime Digiplex, Sushil Chaudhary.

Tambah Sushil, pemasangan pawagam bergerak seperti itu menelan belanja sebanyak AS$65,000 (RM270,960).

Buat masa ini, beliau sedang membangunkan pawagam seperti ini di kawasan-kawasan pedalaman di India. 

Sebanyak lima buah pawagam telah dibangunkan di negeri Arunachal Pradesh selain beliau  turut menyasarkan untuk membina tiga unit lagi di Ladakh.

Tambah Sushil, pihaknya telah mengenal pasti tiga lokasi di setiap daerah di wilayah itu dan pawagam tersebut akan dipindahkan ke lokasi-lokasi itu bagi setiap hari kesepuluh.

Bagi tujuan tersebut, pawagam itu akan dibuka semula dan diangkut menggunakan lori ke lokasi lain serta dipasang semula untuk kemudahan penduduk di lokasi baharu.

Proses tersebut mengambil masa antara empat ke lima jam.

Disebabkan pawagam itu boleh memuatkan seramai 120 penonton, hanya 80 orang dibenarkan memasukinya pada satu-satu masa bagi mematuhi peraturan sekatan Covid-19.

Tiket turut dijual pada harga murah iaitu kira-kira AS$1 (RM4.20), lima kali lebih murah daripada harga tiket wayang di bandar-bandar di India.
 

0/komen