KUANTAN – Malang bagi seorang pelajar yang mahu mencari wang saku dengan melakukan kerja sambilan apabila dia ditipu sindiket pekerjaan tidak wujud sehingga mengalami kerugian RM11,739.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 21 tahun dari Raub tertarik dengan satu tawaran kerja sambilan untuk platform beli-belah dalam talian.
Mangsa telah menghubungi nombor telefon pada iklan berkenaan dan berurusan dengan seorang wanita yang mendakwa pemilik Elevate Marketer Team yang membuat perniagaan dalam talian dan membantu peniaga-peniaga kecil.
Mangsa dijanjikan bayaran komisen sebanyak 10 peratus apabila berjaya menyelesaikan tugasan.
Menurutnya , mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM1,497 ke dalam dua akaun berbeza dengan dua kali transaksi sebagai tugasannya pada Jumaat lalu.
Katanya lagi pada hari sama kira-kira pukul 6.37 petang mangsa diminta memasukkan wang ke satu lagi akaun berjumlah RM3,642 dengan alasan dia dikenakan denda kerana terlewat memasukkan wang.
Dalam tempoh sejam kemudian, mangsa membuat dua kali bayaran masing-masing berjumlah RM2,200 dan RM4,400 juga atas alasan bayaran denda.
Mangsa sedar ditipu selepas usahanya untuk menghubungi suspek gagal dan mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Raub
Catat Ulasan