Bawa Mayat Ibu ‘Bersiar-Siar’


NASHVILLE, TENNESSEE – Seorang lelaki di  Tennessee, Amerika Syarikat diberkas polis kerana membalut mayat ibunya dengan kain kanvas dan membawanya ‘bersiar-siar’ menaiki trak ke seluruh negeri itu.E

Thomas Henshall Jr., 37, ditahan polis di Pusat Perubatan Jabatan Hal Ehwal Veteran di Nashville Sabtu lepas kerana membawa mayat ibunya dari daerah Hamilton sambil berhenti seketika untuk mengisi minyak, makan dan minum bersama teman wanitanya.

Menurut  polis , dia mendakwa ibunya telah membunuh diri dan mayatnya ditemui di sebuah kawasan hutan di Chattanooga.

Suspek turut memberitahu  polis bahawa dia mengambil teman wanitanya pada pagi sabtu lepas dengan mayat ibunya yang sudah berada di dalam kenderaannya sebelum mereka berhenti seketika untuk makan, minum dan mengisi minyak.

Polis berkata, pasangan kekasih tersebut kemudiannya bersiar-siar sejauh  209 kilometer dari Pusat Perubatan Jabatan Hal Ehwal Veteran Nashville serta melalui beberapa buah hospital dan agensi pihak berkuasa.

Suspek memberitahu pegawai penyiasat bahawa ibunya, Danielle Bowen, 60 menembak diri sendiri ketika berada bersebelahan dengannya.

Bagaimanapun, suspek dilaporkan memberitahu kekasihnya bahawa dia menemui mayat ibunya di sebuah kawasan hutan.

Dia gagal memberitahu polis bagaimana ibunya boleh mendapatkan pistol tersebut.

Henshall didakwa atas kesalahan gagal melaporkan mayat ibunya dan mengganggu bukti polis.

Dia dipenjarakan  di Nashville, manakala ikat jamin ditetapkan sebanyak AS$80,000 (RM334,638).
 

0/komen