Hutan ‘Botak’ Dekat Air Terjun Kota Tinggi


Gambar satelit kawasan dikatakan berdekatan Air Terjun Kota Tinggi memaparkan sebahagian besar hutan ‘botak’.

Rata-rata warganet terkejut dengan imej sebelah air terjun , sebelah lagi tempat melombong.

Seorang aktivis masyarakat, Faris Jasma, mendakwa beliau ternampak hutan yang telah ditebang dan tanah yang telah ditarah berdekatan Air Terjun Kota Tinggi, ketika kali terakhir berkunjung ke situ sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Menurutnya, ia dapat dilihat sebelum memasuki gerbang ke kawasan pelancongan itu.

“Sebenarnya apa yang kita nampak itu adalah aktiviti kuari melombong bijih besi. Dah lama kuari ni,” katanya.

Faris mendakwa pada 2010, jalan menuju ke sebuah resort di situ berhabuk dan air Sungai Pelepah – yang mengalir dari air terjun – kekuningan, dipercayai kesan aktiviti perlombongan.

Katanya lagi, aktiviti perlombongan itu turut diketahui kakitangan di resort berkenaan.

“Bila ada projek membabitkan kawasan yang boleh terjejasnya alam sekitar, mana-mana kerajaan pun tahu mengenai penilaian impak alam sekitar (EIA) perlu dibuat. Adakah projek ini ada laporan EIA?” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Ahmad Ismail, berkata kerja-kerja penebangan hutan dan penarahan tanah patut dihentikan sekiranya sedang berjalan, lebih lagi kerana musim tengkujuh bakal tiba.

“Sekarang masa yang sesuai untuk lakukan tinjauan dan lihat kesannya ketika hujan, selain boleh kita lihat adakah banjir setiap tahun disebabkan daripada aktiviti pencerahan hutan ini?” soal beliau.
 

0/komen